Rumah terbengkalai pemaju diserbu
Utusan Malaysia 23/6/2005
PETALING JAYA 22 Jun - Kira-kira 100 wakil pembeli rumah Bandar Alam
Perdana di Shah Alam 2 di sini 'menyerbu' pejabat pemaju bagi
mendapatkan penjelasan sebenar mengenai status projek rumah mereka
yang terbengkalai sejak 2002.
Rombongan pembeli diketuai Pengerusi Penaja
Persatuan Pembeli Alam Perdana, Mohd. Jais Abd. Rashid setelah
menerima desakan pembeli yang sudah jemu dengan pelbagai alasan dan
sikap berdolak-dalik pemaju.
"Rumah impian kami yang dijanjikan siap sepenuhnya
sedangkan kami terpaksa menanggung dan membayar hutang bank yang
tinggi setiap bulan.
"Kami telah banyak kali menghubungi pemaju namun
jawapan mereka amat menghampakan dengan pelbagai alasan yang
menyakitkan hati dan bukan lagi janji manis seperti sebelum kami
membeli rumah dulu.
"Jadi, kami datang beramai-ramai ke pejabat pemaju
bagi mendapatkan kedudukan sebenar mengenai projek berkenaan,"
katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil
pemaju yang juga Pengerusi Eksekutif Syarikat Prima Utilities
Berhad, Datuk Nik Ezar Nik Bolia.
Dalam memorandum itu, mereka menyatakan rasa tidak
puas hati dengan pemaju yang gagal menyiapkan rumah sepenuhnya
sehingga lewat tiga tahun.
Pembeli juga memberi amaran keras kepada pemaju
untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya pemaju gagal menyambung
kerja-kerja menyiapkan rumah di Bandar Alam Perdana.
Pada perkembangan yang sama, menurut Mohd. Jais,
pihaknya mewakili kira-kira 1,000 pembeli teraniaya.
Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh sebulan
kepada pemaju bagi mencari kata pemutus mengenai projek perumahan
terbengkalai.
Sementara itu, Nik Ezar pada sidang akhbar
memberitahu, pemaju menyedari masalah projek terbengakali dan
kekecewaan dialami pembeli sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, projek rumah berkenaan terbengkalai
berpunca daripada masalah kekurangan wang dan kontraktor bagi
meneruskan projek oleh pemaju.
"Saya merupakan pengerusi yang baru dilantik dan
akan cuba sedaya-upaya menyelesaikan masalah ini dengan membawanya
ke mesyuarat lembaga pengarah tidak lama lagi," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga tertarik dengan
cadangan daripada pembeli supaya pemaju membeli balik kesemua rumah
terbengkalai sebelum menjualnya semula.
"Ia satu cadangan penyelesaian yang menarik kerana
kawasan Alam Shah 2 akan membangun pesat dalam tempoh lima tahun
lagi dan saya akan membawanya ke mesyuarat tidak lama lagi," katanya. |