Rumah terbengkalai 3 tahun
Harian Metro 23/6/2005
PETALING JAYA: Pembeli rumah di Bandar Alam Perdana, Bukit Cherakah,
Kuala Selangor kesal kerana syarikat pemaju projek itu masih tidak
dapat menyiapkan kediaman mereka walaupun ia dijadualkan siap tiga
tahun lalu.Pengerusi Persatuan Pembeli
Rumah Alam Perdana, Mohd Jais Abdul Rashid, berkata impian pembeli
unit kedai dan kediaman di projek berkenaan berkecai apabila rumah
idaman tidak dapat diduduki pada tempoh dijadualkan sedangkan mereka
terpaksa membayar ansuran bank.
Menurutnya, pada masa sama, pembeli menanggung
kerugian apabila terpaksa membayar sewa rumah dan ansuran rumah yang
dibeli di situ kepada
pihak bank.
Katanya, pembinaan projek perumahan itu yang
dimulakan pada 2000, dihentikan dua tahun kemudian walaupun sudah 80
peratus disiapkan, dipercayai kerana masalah kewangan.
"Ketika membeli rumah itu pada 2000, kami
dijanjikan pemaju bahawa projek perumahan itu dijangka siap
sepenuhnya pada 2003.
"Bagaimanapun, selepas tiba tarikh dijanjikan,
kami gagal menduduki rumah itu berikutan projek berkenaan belum siap
dan mereka mendakwa kelewatan itu disebabkan masalah kontraktor yang
dilantik dan kewangan,"
katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak
pemaju di sini, semalam.
Turut hadir, lebih 100 pembeli bagi menyerahkan
memorandum menggesa pemaju menyambung semula pembinaan, di samping
mendapatkan penjelasan kelewatan projek itu.
Sementara itu, wakil pemaju, Pengerusi Eksekutif
Prime Utilities Sdn Bhd, Datuk Nik Ezar Nek Bolia, tidak menafikan
projek perumahan itu terbengkalai kerana masalah kontraktor dan
kewangan.
"Kami akan mengadakan sesi dialog dengan pembeli
dalam tempoh sebulan lagi bagi menjelaskan masalah yang timbul
sehingga menjejaskan pembinaan projek itu," katanya. |