Projek Taman Senawang Jaya disambung semula hujung tahun ini
Kosmo 2/6/2005
KUALA LUMPUR - Masalah projek rumah terbengkalai di Taman Senawang
Jaya Fasa I-C, Seremban dijangka selesai tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan
Dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Datuk Woo Ah Lek, pihaknya
dalam proses terakhir menunggu kelulusan suntikan modal baru untuk
memulakan semula projek tersebut.
"Kita sekarang menunggu kelulusan dokumen-dokumen
untuk memulakan projek, dan kita menjangkakan pada penghujung tahun
ini projek dapat disambung semula," katanya ketika dihubungi KOSMO!
semalam.
Beliau mengulas laporan KOSMO! semalam mengenai
rintihan 87 pembeli yang menunggu hampir 22 tahun untuk rumah mereka
disiapkan, malangnya sehingga hari ini masih belum menjadi kenyataan.
Semasa membeli rumah di taman itu pada tahun 1983,
salah seorang pembeli, Abu Bakar Md. Top, 57, membayangkan akan
menduduki rumah teres setingkat itu dalam tempoh 18 bulan.
Bagaimanapun, sehingga hari ini projek perumahan
sebanyak 96 unit itu masih terbengkalai.
Sebanyak 87 daripada 96 unit telah dijual ketika
dipromosikan oleh pemaju pada tahun 1983. Kebanyakan rumah hanya
siap antara 50 ke 60 peratus dan kerja-kerja pembinaannya telah
dihentikan sejak akhir tahun 1983.
Ah Lek berkata, pihak kerajaan akan memberi
suntikan modal sebanyak RM2.5 juta untuk membolehkan projek itu
dibangunkan semula setelah lebih dua dekad terbengkalai.
"Kita sudah lama melihat masalah ini dan tindakan
sewajarnya sudahpun diambil bagi menyelesaikan secepat mungkin, kita
berharap penduduk bersabar," katanya lagi.
Menurutnya, baki projek akan diambil alih oleh
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan dijangka siap dalam masa
lapan hingga 12 bulan selepas projek dimulakan. |