Projek terbengkalai 22 tahun, ada pembeli sudah mati
Kosmo 1/6/2005
SEREMBAN - Semasa membeli rumah di Projek Perumahan Taman Senawang
Jaya Fasa 1-C di sini pada tahun 1983, Abu Bakar Md.
Top, 57, membayangkan akan menduduki rumah teres
setingkat itu dalam tempoh 18 bulan. Bagaimanapun, sehingga hari ini, selepas 22 tahun,
projek perumahan sebanyak 96 unit itu masih terbengkalai.
Sebanyak 87 daripada 96 unit telah dijual ketika
dipromosikan oleh pemaju pada tahun 1983. Kebanyakan rumah hanya
siap antara 50 ke 60 peratus dan kerja-kerja pembinaannya telah
dihentikan sejak akhir tahun 1983.
Abu Bakar, bekas askar berkata, ada antara pembeli
rumah yang telah meninggal dunia sebelum sempat menduduki rumah yang
dibeli pada harga RM60,000 itu.
Disebabkan tiada tindakan daripada mana-mana pihak
kebanyakan pembeli telah berputus asa. Kebanyakan pembeli telah
menjelaskan bayaran di antara RM30,000 hingga RM40,000. Kawasan
perumahan itu terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Plaza Tol
Senawang.
Katanya, sudah berkali-kali pembeli membuat aduan
di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 9 Januari 1988
tetapi masih tiada maklum balas positif daripada mereka untuk
menyiapkan rumah tersebut.
Aduan turut dibuat kepada pentadbiran negeri
berhubung dengan rumah terbengkalai ini, namun masalah itu masih
belum dapat diatasi. Menurut Abu Bakar, kesulitan itu mungkin tidak
begitu dirasai oleh pembeli yang berpendapatan tinggi tetapi ia amat
memeritkan baginya sebagai bekas anggota tentera.
"Bagi pembeli berpendapatan rendah yang sudah
menghabiskan simpanan untuk pelaburan rumah ini mereka terpaksa
gigit jari dan memendam perasaan sedih sambil menunggu rumah ini
disiapkan," katanya lagi.
Tinjauan KOSMO! mendapati kawasan tapak perumahan
itu terbiar dengan kiri dan kanannya dipenuhi pokok yang menutup
struktur rumah yang separuh siap itu.
Abu Bakar berharap kerajaan pusat dapat campur
tangan dalam isu itu kerana hanya rasa tersebut sahaja yang masih
terbengkalai. Dia juga khuatir rumah terbengkalai yang terletak
berdekatan dengan sekolah dan tadika memberi kesempatan kepada orang
tidak bertanggungjawab melakukan sesuatu yang tidak diingini.
"Rumah yang terbengkalai mungkin akan dijadikan
sarang penagih-penagih dadah untuk melepaskan gian," jelasnya.
Ditanya sama ada akan terus menunggu projek itu
siap, Abu Bakar berkata, dia masih menaruh harapan tinggi yang satu
hari nanti akan menduduki rumah tersebut. |