Penduduk
derita MPSJ mungkir janji
20/06/2005 Utusan Malaysia
SUBANG JAYA 19 Jun - Kira-kira 5,000 penduduk pangsapuri Angsana, Subang Mewah
di sini 'menderita' sejak empat tahun lain kerana menunggu pemaju dan Majlis
Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan kemudahan seperti dijanjikan.
Bagi penduduk, janji manis kedua-dua pibak untuk menyediakan dewan, surau
dan padang permainan yang sempurna seakan-akan seperti menunggu 'buah yang
tidak gugur'.
Sikap berdolak-dalik pemaju dan MPSJ mengenai perkara itu telah memburukkan
lagi keadaan. Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Angsana, Azmy Awang,
37, berkata, kemudahan asas itu sebenarnya terdapat dalam pelan awal pembangunan.
Menurutnya, tapak pembangunan juga telah disediakan tetapi sehingga kini
ia masih belum dibuat.
"Kami telah beberapa kali membuat aduan tetapi yang jadi masalahnya, pemaju
mendakwa, ia urusan MPSJ dan MPSJ pula dakwa, ia urusan pemaju.
"Jadi kami yang 'menderita' kerana tersepit di tengah," katanya kepada
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pangsapuri Angsana merupakan rumah kos rendah mengandungi 12 blok dan empat
daripadanya merupakan blok besar. Para penghuninya adalah bekas penduduk setinggan
di Kampung Medan, Petaling Jaya.
Azmy juga mendakwa, sikap tidak proaktif wakil jawatankuasa penduduk di
kawasan itu juga melambatkan usaha penyediaan kemudahan di Pangsapuri Angsana.
"Tunggu-tunggu tidak dibuat, kami terpaksa membuat sendiri tempat bagi
permainan badminton, bola jaring sementara tetapi ia tidak sempurna," jelasnya.
Selain kemudahan asas, katanya, penyelenggaraan dan keselamatan lif, pengurusan
sampah dan masalah kecurian, cukup mengecewakan. Samsuri Razal, 35, pula memberitahu,
ketiadaan surau di kawasan itu menyukarkan penduduk melaksanakan aktiviti
keagamaan.
"Kami terpaksa pergi kira-kira tiga kilometer untuk menumpang Surau Nur
Shafie di Subang Permai sedangkan kariah di kawasan itu sendiri pun sudah
ramai. Kalau ikut penduduk di sini sepatutnya sudah ada masjid tetapi ini
surau pun masih belum dapat dibuat," ujarnya.
Samsuri meminta Jabatan Agama Islam Selangor memandang berat permohonan
mereka dan meluluskannya seberapa segera seterusnya memudahkan pihaknya mendapatkan
bantuan kewangan bagi tujuan itu.
Bagi Sudirman Jauhari, 28, ketiadaan dewan orang ramai seperti kawasan
perumahan lain menyukarkan penduduk di Pangsapuri Angsana mengadakan majlis
dan aktiviti-aktiviti sosial.
"Jadi kalau ada majlis seperti majlis perkahwinan kami terpaksa mengosongkan
kawasan tempat letak kereta dan ia kawasan terbuka bukan dewan seperti di
kawasan perumahan lain," katanya.
Sehubungan itu, mereka mendesak pemaju dan MPSJ lebih bertanggungjawab
dalam masalah penyediaan kemudahan asas di kawasan berkenaan dan berharap
ia akan dapat diselesaikan segera.