Pembeli kesal kerenah pemaju
BH 24/06/2005 Oleh KC Chong
PETALING JAYA: Marah, kesal dan kecewa. Itulah perasaan lebih 2,000
pembeli rumah Projek Bandar Alam Perdana berikutan pemaju menangguh
struktur pembinaan projek perumahan itu.
Projek perumahan 2,300 unit yang mempunyai rumah pangsa kos rendah,
rumah teres dua tingkat, rumah kedai serta banglo itu bermula pada
2000 dan sepatutnya siap pada Jun 2002.
Masalah tercetus apabila pemaju Vega Builders Sdn Bhd, yang
menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh, gagal menyiapkan rumah
pada tarikh mengikut perjanjian yang ditandatangani dengan pembeli.
Vega Builders adalah anak syarikat Prime Utilities Berhad.
Jurutera, Hanawati Majid, 31 yang membeli rumah teres dua tingkat,
mendakwa pemaju hanya pandai berjanji sehingga masalah berlanjutan
hampir tiga tahun.
Katanya, alasan yang diberi pemaju ialah masalah kekurangan tenaga
kerja akibat langkah kerajaan menghantar balik pekerja asing pada
2002, sebaliknya pembeli difahamkan masalah pemaju dengan kontraktor
juga punca projek tergendala.
Pada pertengahan 2002 pemaju berjanji rumah siap pada akhir tahun.
Kemudian minta tunda awal 2003 dan menjanjikan siap pada 2004.
Malangnya hingga hari ini janji tinggal janji dan rumah tetap tidak
siap lagi.
Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Alam Perdana, Mohd Jais Abdul
Rashid, berkata pihaknya pernah menghantar memorandum kepada
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 16 Februari serta
berjumpa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Amiruddin Setro
mengenai perkara itu.
Pihaknya meminta kementerian mengadakan sesi dialog bersama pembeli
rumah dan pemaju bagi menyelesaikan masalah itu.
Beliau juga berkata pembeli rumah terpaksa menanggung hutang bank
yang tinggi selain membayar sewa rumah yang diduduki sekarang.
“Hampir keseluruhan pembeli menandatangani surat perjanjian jual
beli pada Jun 2000. Namun masih tertunggu-tunggu pemaju menyiapkan
rumah,” katanya.
Hasil perjumpaan kelmarin, Pengerusi Eksekutif Prime Utilities,
Datuk Nik Ezar Nik Bolia, berkata pihaknya akan cuba menyiapkan
projek itu dalam tempoh enam bulan.
Beliau berkata mesyuarat bersama pembeli rumah dan pemilik tanah
akan diadakan dalam masa sebulan.
Katanya, kelewatan projek disebabkan beberapa faktor yang dihadapi
syarikat termasuk masalah kewangan.
Pembeli rumah diminta menghubungi Mohd Jais di talian 019-3695725
atau naib pengerusi persatuan, Simon Choy di talian 016-3328869
berhubung butiran penuh mesyuarat. |
| |
|