Pemaju kondo enggan bayar ganti rugi kepada pembeli
Berita Harian 9/6/2005 Oleh Zuriyani Mat Zain
KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 pembeli kondominium Desa Heights, Kepong,
menyerahkan surat aduan terhadap pemaju perumahan Mega Mall
Development di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bahagian
Pengawasan dan Penguatkuasaan, di Damansara, semalam.
Aduan itu dibuat berikutan pembayaran ganti rugi yang sepatutnya
diterima mereka berdasarkan bidang kuasa tribunal tuntutan pembeli
rumah, tidak dilayan oleh pemaju.
Penghuni rumah kos rendah dan sederhana itu sepatutnya menerima
ganti rugi RM3,000 hingga RM8,000 sebagai pampasan kepada mereka
disebabkan kelewatan penerimaan rumah.
Namun, sehingga kini permohonan mereka masih tidak mendapat
perhatian pemaju.
Ketua Biro Perkhidmatan dan Hal Ehwal Awam, MCA Bahagian Kepong, Yee
Poh Ping, ketika ditemui berkata, masalah ini berlarutan dari tahun
2002 lagi iaitu tarikh sebenar rumah perlu diserahkan kepada
pemilik.
“Pemilik rumah menerima kunci rumah mereka pada tahun 2003 lalu. Ini
bermakna pihak pemaju terlewat hampir setahun untuk menyerahkan hak
milik rumah kepada pembeli kondominium itu,” katanya.
Yee berkata, hak pembeli kondominium ini tidak terbela kerana
walaupun pernah mengadu kepada bahagian tribunal, mereka tidak
mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Mereka terikat dan tidak boleh berbuat apa-apa untuk mempertahankan
hak masing-masing,” katanya.
Yee berharap, perkara ini akan mendapat perhatian daripada Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dalam
memperjuangkan hak pembeli rumah yang teraniaya.
“Jika boleh, adakan satu perjumpaan bersama pihak pemaju dan pemilik
rumah untuk menyelesaikan masalah ini secara bersemuka,” katanya. |
| |
|