Kaji
semula CCC ganti CF
Kosmo 18/06/2005
KUALA LUMPUR - Harapkan pagar, pagar makan padi. Demikian
perumpamaan daripada Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA)
mengenai kewibawaan segelintir arkitek perumahan.
Keadaan ini wujud disebabkan cadangan kerajaan
menukarkan Sijil Layak Menduduki (CF) kepada Sijil Siap dan
Pematuhan (CCC) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang
dianggap oleh HBA sebagai tidak berwibawa.
Setiausaha Agungnya, Chang Kim Loong berkata,
keraguan kepada kewibawaan arkitek berlaku disebabkan kebanyakan
statistik aduan permasalahan yang diterima disebabkan sijil
pramatang yang dikeluarkan oleh arkitek sering disalahgunakan
pemaju.
"Kami ada bukti. Fakta menunjukkan pemaju sanggup
mengarahkan arkitek yang dilantiknya untuk mengeluarkan sijil
pramatang projek perumahan untuk menuntut bayaran akhir daripada
pembeli.
"Bagaimanapun apabila rumah diserahkan kepada
pembeli, keadaan rumah yang diterima sangat mengecewakan dengan
keadaan struktur belum siap dan tidak lengkap," katanya kepada
KOSMO!.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting bahawa CF akan digantikan
kepada CCC dengan dikeluarkan oleh arkitek dan jurutera saja, bukan
oleh pihak berkuasa tempatan sebelum ini.
Menurut Kim Loong, HBA setiap tahun menerima
ratusan aduan berkaitan sijil pra-matang sama ada ia palsu atau
tidak jelas penilaian arkitek yang meluluskannya untuk mengelirukan
pembeli.
Sehubungan itu, katanya, HBA mencadangkan kepada
kerajaan agar mengkaji semula cadangan mewujudkan CCC.
"Berdasarkan kes terbaru HBA, terdapat enam aduan
yang dikemukakan oleh pihak persatuan kepada Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan ke atas sijil pra-matang yang diluluskan oleh
arkitek pemaju perumahan.
"Akhirnya enam aduan tersebut disiasat dan diambil
tindakan oleh Lembaga Arkitek Malaysia," katanya. |