|
Bukan semua projek rumah polis
terbengkalai bawah JKR
09/06/2005
Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 8 Jun - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Velu menjelaskan
Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak bertanggungjawab terhadap semua projek
perumahan polis yang terbengkalai - termasuk di Bukit Pelindung, Kuantan,
Pahang.
Beliau menegaskan, tidak semua projek perumahan polis terbengkalai pada
tahap akhir iaitu kira-kira 90 peratus berada di bawah kendalian jabatan itu.
"Saya tidak tahu di bawah siapa projekprojek berkenaan, yang pasti ia bukan
di bawah kementerian saya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi
hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Kementeri
Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar semalam mendedahkan kebanyakan
projek perumahan polis terbengkalai pada tahap akhir iaitu kira-kira 90
peratus untuk disiapkan.
Utusan Malaysia turut menyiarkan gambar muka satu projek perumahan polis di
Bukit Pelindung, Kuantan, Pahang yang terbengkalai walaupun sudah 98 peratus
siap menyebabkan ia tidak dapat digunakan sehingga kini.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan
kontraktor projek pembinaan perumahan polis di seluruh negara supaya
menyiapkannya mengikut jadual.
Perdana Menteri menganggap semua projek yang ada hubung kait dengan
kebajikan polis, terutama perumahan sebagai satu perkara serius dan perlu
diberi keutamaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKR, Tan Sri Zaini Omar pula berkata,
kemungkinan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut
menghadapi masalah kewangan.
"Oleh kerana berdepan dengan masalah kewangan, segelintir projek yang hampir
siap tidak dapat diteruskan sehingga peringkat akhir.
"Kemungkinan juga sistem pengurusan segelintir kontraktor tidak betul dan
menghadapi pelbagai masalah untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan," katanya.
Kata Zaini, bukan semua kontraktor yang terlibat berbuat demikian
kemungkinan hanya terdapat segelintir sahaja.
|