Saudara Pengarang,
MELALUI ruangan ini saya ingin membawa ke pengetahuan orang ramai agar
tidak terpedaya dengan iklan jualan lot banglo tanah rezab Melayu
terutamanya di daerah Kelang oleh pemaju perumahan yang hanya bertujuan
mendapatkan wang secara mudah.
Saya telah mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk
membayar pendahuluan 10 peratus iaitu sebanyak RM12,900 untuk membeli
rumah di Meru di atas Lot 6400, Mukim Kapar, Daerah Kelang pada bulan
Oktober 2000 daripada sebuah syarikat.
Perjanjian telah ditanda tangani dan pinjaman bank juga telah diluluskan.
Saya telah membelanjakan wang sebanyak lebih RM3,700 untuk kos guaman bagi
menandatangani perjanjian pembelian dan pinjaman bank.
Malangnya sehingga hari ini projek perumahan tersebut tidak berjalan dan
projek berpindah ke syarikat pemaju lain, dan paling terkini saya
diberitahu ia berpindah lagi ke pemaju lain yang tidak diketahui
kebenarannya kerana kakitangan yang bertugas pula bertukar ganti dan
pengarahnya langsung tidak dapat ditemui.
Pemaju yang tidak bertanggungjawab ini akan menutup syarikat yang
bermasalah dan membuka syarikat lain dengan nama baru dan meneruskan lagi
aktiviti mereka mengutip deposit daripada orang ramai yang ingin membeli
lot-lot banglo yang diiklankan.
Melalui ruangan ini saya menyeru kepada semua yang terlibat dengan
pembelian lot banglo ini agar dapat menghubungi saya melalui e-mail:
desameru@yahoo.com supaya satu jawatankuasa bertindak dapat ditubuhkan
untuk menyelesaikan perkara ini dan mereka yang tidak bertanggungjawab ini
dapat dihadap ke muka pengadilan.