Tangki air meletup dibaiki
Berita Harian 27/5/2005
CHERAS: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjanji untuk membaiki
secepat mungkin satu daripada dua tangki air yang meletup Selasa lalu di
Blok 92, Perumahan Awam Sri Kota, di sini.Ahli
Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Tan Chai Ho, berkata, pihaknya
dimaklumkan kerja membaiki tangki air akan disiapkan dalam tempoh
sekurang-kurangnya seminggu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam
Negeri, berkata letupan itu berpunca daripada air takungan berlebihan
berikutan satu tangki masih dalam proses pembaikan.
"Sebenarnya kita mempunyai dua tangki atas bumbung yang
bermasalah kerana berlaku kebocoran dan perlu dibaiki segera.
"Kedua-dua tangki itu perlu dibaiki dan untuk permulaan
satu dibaiki dulu dan diikuti tangki kedua secara berperingkat," katanya.
Berikutan itu, DBKL mengeluarkan notis memberitahu
penghuni berhubung kerja membaiki tangki bermula 17 dan dijangka siap pada
24 Mei lalu.
"Malangnya, sehari sebelum siap, tangki kedua tiba-tiba
meletup pagi Selasa lalu," katanya.
Tan berkata, akibat letupan itu, DBKL terpaksa menutup
tangki air berkenaan menyebabkan lebih 1,000 penghuni di blok terbabit
terputus bekalan air sehingga kini.
"Bagaimanapun, DBKL menyediakan empat tangki statik bagi
memudahkan penghuni mendapatkan bekalan air untuk keperluan harian.
"Justeru, kita berharap tangki yang dibaiki dapat
digunakan sepenuhnya esok kerana kita tahu kesusahan yang dialami penghuni
apabila bekalan air terputus," katanya.
DBKL juga akan membuat pemeriksaan semua tangki air di
perumahan berkenaan untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang
pada masa depan.
Sementara itu, penghuni blok itu tidak menyangka letupan
di bumbung rumah mereka berpunca daripada tangki air pecah, sebaliknya
disebabkan gempa bumi menyebabkan mereka menjadi kelam kabut.
Penghuni, V Genisan, 52 berkata letupan kuat pada jam 2
pagi membuatkan dia sekeluarga panik kerana memikirkan berlaku gempa bumi.
"Kami ingatkan letupan itu adalah gempa bumi kerana
begitu kuat sehingga televisyen di rumah kami bergegar.
"Lagipun, sekarang memang banyak berlaku kejadian
seumpama ini dan apabila kami dikejutkan bunyi letupan sudah tentu dalam
fikiran kami adalah gempa bumi atau tsunami," katanya. |