Penyewa bimbang premis retak
Utusan Malaysia 25/5/2005
KLANG 24 Mei - Lebih 100 pemilik dan penyewa bangunan di Pusat Komersial
Bukit Tinggi dekat sini berada di dalam kebimbangan apabila bangunan yang
diduduki sejak lima tahun lalu semakin mendap daripada semasa ke semasa.
Menurut mereka, akibatnya keseluruhan bahagian bawah
bangunan berkenaan kini mengalami keretakan serius dan lantainya turut
mendap dan retak teruk.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati,
premis tersebut juga menghadapi masalah pembetungan yang serius.
Ini kerana sistem penyambungan paip air tidak berfungsi
dan kini disambung dengan saluran baru yang jauh tersasar daripada saluran
asal sehingga mencacatkan pemandangan di bangunan berkenaan.
Seorang pemilik, M. Raman, 36, berkata, sudah tiba
masanya bangunan itu diperbaiki sebelum ada nyawa yang terkorban.
Katanya, sejak lima tahun lalu, aduan yang dibuat oleh
pembeli dan penyewa di situ hanya dianggap sebagai perkara remeh-temeh
oleh pemaju.
"Saya sudah tidak tahu di mana lagi hendak mengadu. Saya
,pernah ke Majlis Perbandaran Klang (MPK) tetapi sampai kini belum
menerima sebarang maklum balas.
"Mungkin kalau runtuh nanti, baru mereka datang dan
betulkan bangunan yang semakin banyak menampakkan kerosakannya ini,"
katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Seorang peniaga, P. Ponnambal, 61, memberitahu, keadaan
akan menjadi lebih teruk apabila musim hujan apabila air hujan melimpah
keluar dari longkang.
Keadaan itu katanya tidak sepatutnya berlaku sekiranya
longkang itu tidak tersumbat atau rosak tetapi itulah sebaliknya berlaku
di sini.
Menurutnya, lebih memualkan lagi apabila sampah-sarap
dan najis melimpah di atas jalan utama menyebabkan bau yang sangat busuk
di samping menyebabkan pelanggan lari ke tempat lain.
"Hendak tunggu sampai bila lagi pun, saya tidak tahu.
Sudah banyak kali buat aduan tetapi mereka hanya datang tengok dan ambil
gambar tanpa ada tindakan susulan yang berkesan," ujarnya.
Seorang penyewa bangunan di tingkat dua, Yeah Lai Fatt,
38, berkata, tindakan menampal simen di bahagian bawah yang retak tidak
memadai sama sekali.
Katanya, ini kerana ia hanya bertahan untuk jangka masa
yang pendek dan kembali retak selepas itu.
"Tengoklah keadaan yang tampal itu, ia bukannya dapat
boleh menutup bahagian yang retak tetapi hanya untuk mengaburi mata kami
sahaja," tegasnya.
Seorang pekerja restoran, Yusuf Abd. Wahab, 34, mahukan
tindakan segera dilakukan bagi memastikan keselamatan penghuni di bangunan
berkenaan.
Dengan yuran penyenggaraan yang dibayar pada setiap
bulan katanya, tindakan susulan untuk menambahbaikan bangunan itu tetap
tidak memuaskan.
Bukan sahaja berhadapan dengan masalah longkang
tersumbat, dia berkata, kebanyakan kemudahan lain juga berada di dalam
keadaan tidak sempurna sehingga menyusahkan penghuni di situ.
Tambahnya lagi, pihak berkenaan seperti pemaju dan MPK
perlu mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah di situ.
|