Penghuni bimbang pangsapuri retak, senget
Berita Harian 2/5/2005
SHAH ALAM: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib kira-kira 80
keluarga yang mendiami pangsapuri di Blok 9, Seksyen 7, di sini.
Apa tidaknya, sudahlah rumah yang
diidamkan untuk membesarkan anak, rosak tidak sampai tiga tahun diduduki,
kerja pembaikan yang dilakukan pemaju juga seolah-olah mendedahkan
penghuni kepada masalah yang lebih besar.
Semua 80 unit pangsapuri di situ
mengalami keretakan yang serius sehingga melarat ke luar rumah; bocor
malah blok bangunan dua unit itu kelihatan senget.
Penduduk mendakwa keretakan dan kesan
tampalan simen di bangunan itu wujud sejak hari pertama mereka mendiami
rumah berkenaan pada Januari 2003. Malah, keretakan terus berlaku walaupun
ia ditampal beberapa kali.
Keadaan itu menyebabkan ada segelintir
penghuni blok berkenaan mengambil keputusan berpindah kerana demi
keselesaan dan bimbangkan keselamatan keluarga.
Penduduk semakin bimbang sebaik saja
kerja pembaikan dimulakan pemaju, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
berikutan terdapat beberapa kesan menunjukkan masalah bertambah serius.
Suri rumah, Mariam Sahul Hamid berkata,
rumahnya retak di bahagian siling dan kerja menanam cerucuk yang sedang
dilakukan mengeluarkan bunyi amat bising sehingga mengganggu ketenteraman
penghuni.
Beliau juga membuat laporan polis kerana
bunyi yang terlalu bising serta takut bangunan itu akan roboh akibat
gegaran yang berlaku sepanjang kerja pembaikan itu dilakukan.
Tinjauan Sentral mendapati kesan
daripada keretakan itu, menyebabkan air mengalir masuk ke dalam rumah
melalui rekahan dan pintu tidak boleh ditutup serta lantai menjadi tidak
rata.
Pangsapuri kos sederhana rendah itu
adalah sebahagian daripada 1,260 unit rumah kos sederhana rendah dan kos
rendah yang dibina PKNS di Seksyen 7. Setiap blok kediaman itu daripada
bangunan lima tingkat yang didiami kira-kira 1,500 penduduk.
Wakil penduduk, Mohd Rafi Md Zain
berkata, perkara itu sudah beberapa kali diajukan kepada PKNS tetapi
sehingga kini tiada jawapan diterima, terutama berhubung keselamatan
bangunan berkenaan.
Mohd Rafi berkata, pada pertemuan
pertama yang dipengerusikan Timbalan Datuk Bandar, Za'aba Che Rus, PKNS
memaklumkan kepada penduduk masalah keretakan mula disedari sejak 2002
iaitu sebelum kunci diserahkan kepada pemilik terbabit.
"PKNS memberitahu bangunan ini selamat
didiami. Tetapi, keretakan yang berlaku semakin serius. Adakah bangunan
ini masih selamat?," katanya.
Namun, Mohd Rafi berkata, apa yang lebih
dikesalkan ialah PKNS hanya bertindak apabila masalah itu disiarkan TV3
sedangkan penduduk membuat aduan sejak dua tahun lalu.
Selain itu, katanya, PKNS juga tidak
meminta pendapat penduduk apabila memutuskan untuk melakukan kerja
pembaikan seolah-olah mereka tidak mementingkan keselamatan penduduk.
Pada mesyuarat itu, katanya, penduduk
meminta untuk dipindahkan ke perumahan sementara sepanjang kerja pembaikan
dijalankan, menggantikan unit rosak dengan rumah baru atau PKNS membeli
balik unit yang dijual.
Bagaimanapun, beliau berkata, PKNS
menolak ketiga-tiga usul itu dan bercadang memberi elaun kesusahan
sebanyak RM300 sebulan kepada penduduk terbabit sepanjang tempoh pembaikan.
"Keputusan PKNS itu seolah-olah tidak
menjaga kebajikan kami yang membeli rumah mereka.
"Bagaimana kami hendak mencari rumah
sewa dengan harga RM300 sebulan. Paling murah pun, RM450 dan itu pun
rumahnya tidak selesa," katanya.
Mohd Rafi berkata, berikutan masalah
pampasan dan tuntutan penduduk kepada PKNS masih tidak selesai dalam
mesyuarat ketiga, 19 April lalu, beliau menulis surat kepada Menteri Besar,
Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bagi meminta bantuan. |