Panik
dengar jeritan
(Mangsa gagal buka pintu terlalu takut api)
Harian Metro 17/5/2005
KEPONG: Seorang warga tua yang panik selepas terdengar jeritan kebakaran
dari luar kediamannya gagal membuka kunci pintu rumah walaupun memiliki
anak kunci dalam kejadian di Apartmen Sinar Magna, di sini, petang semalam.Mangsa, N Letchumy, 72, berkata ketika kejadian dia menonton televisyen
dan panik apabila terdengar jeritan meminta penghuni apartmen itu keluar
kerana berlaku kebakaran.
"Saya kemudian menjenguk keluar dan nampak kepulan asap dari bumbung
tingkat atas rumah saya lalu berusaha membuka pintu yang dikunci.
"Bagaimanapun, kerana terlalu takut saya gagal membukanya lalu berlari ke
tingkap dan menjerit meminta tolong," katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, ketika kejadian pintu rumahnya dikunci kerana kedua-dua
anak dan menantunya keluar bekerja. Ketika kejadian, dia berseorangan di
rumah berkenaan.
Menurutnya, selepas beberapa minit mencuba dia berjaya membuka kunci pintu
rumahnya dan berlari keluar menyelamatkan diri dengan menuruni tangga
tingkat lapan ke tingkat bawah dibantu seorang pengawal keselamatan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Wilayah
Persekutuan, Md Ali Ismail, berkata bomba menerima panggilan kecemasan
kira-kira jam 3.46 petang dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
Menurutnya, tiga jentera masing-masing satu dari Balai Bomba dan
Penyelamat Jinjang, Hang Tuah dan Sentul bersama 15 anggota termasuk dua
pegawai terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu.
"Bomba mengambil masa kira-kira satu jam memadamkan kebakaran di tingkat
sembilan apartmen itu.
"Siasatan awal mendapati dua unit rumah musnah manakala sebuah lagi
mengalami kerosakan kecil," katanya di tempat kejadian.
"Bomba masih menyiasat punca kejadian itu dan jumlah kerugian belum dapat
ditafsirkan lagi," katanya. |