Kecewa rumah dibeli masih jadi hak
milik pemaju
Utusan Malaysia 10/5/2005
Saudara Pengarang,
SAYA salah seorang pembeli rumah di Taman Melawati Jaya, Kuala Selangor,
Selangor. Saya telah membeli rumah pada tahun 2000 dan kemudian
rumah tersebut tidak dibina oleh pemaju. Saya kemudian ditawarkan seunit
rumah lain.
Saya terima tawaran tersebut. Pembatalan perjanjian
telah dibuat dan perjanjian yang baru juga telah dibuat untuk unit yang
lain.
Saya juga telah menjelaskan segala bayaran termasuk
untuk tukar hak milik walaupun sepatutnya semua kos perundangan ditanggung
oleh pihak pemaju seperti terkandung dalam surat tawaran tersebut.
Masalah saya ialah sehingga hari ini rumah tersebut
masih menjadi hak milik pemaju. Sampai bila saya harus menunggu rumah yang
dibeli akan menjadi hak saya.
Rumah telah lama siap dan potongan gaji telah dibuat
semenjak akhir tahun 2002. Saya selalu menelefon dan pernah juga menulis
surat dan pergi ke pejabat pemaju dan peguam yang menguruskan pembelian
rumah tersebut.
Tetapi nampaknya saya masih belum dapat memiliki rumah
saya itu. Saya amat berharap pihak-pihak tertentu dapat memberi
perhatian tentang masalah saya ini.
Mungkin masalah ini dihadapi oleh pengguna lain yang
telah membeli rumah di taman ini tetapi tidak dibina oleh pihak pemaju
berkenaan. ANAK JATI, Kuala Selangor, Selangor. |