"Tolonglah bantu kami"
(Seribu satu macam masalah di Apartment Pearl Court,Balakong)
05/04/2005
Kosmo
KUALA LUMPUR - Ibarat iklan Astro, macam-macam ada. Begitulah yang berlaku
di Apartmen Pearl Court, Balakong dekat sini.
Penduduk mengadu bahawa mereka berhadapan dengan pelbagai masalah, baik kes
jenayah seperti pecah rumah, ancaman anjing liar, lembu-lembu berkeliaran,
nyarnuk dan masalah air.
Demikian keluhan Pengerusi persatuan penduduknya, Rosli Zakaria ketika
ditemui kelmarin.
Katanya, apa yang menjadi tanda tanya ialah masalah tarif air bagi penduduk
di situ kerana mereka sekarang dikenakan tarif sama dengan tarif kondominium.
"Apa yang menghairankan kami kenapa sekarang penduduk di sini dikenakan caj
sama dengan caj kondominium sedangkan kami hanya duduk di apartmen.
"Kami sekarang dikenakan RM1.20 satu meter padu tetapi dahulu kami dikenakan
70 sen dan pihak pengurusan mengenakan tambahan lima sen," katanya.
Berikutan itu, penduduk tidak puas hati kerana mereka telah membayar caj
penyelenggaraan RM55 sebulan.
"Kami cukup hairan kenapa jadi begini... kami bukannya orang kaya untuk
disamakan taraf dengan kondominium.
"Kemudahan yang ada di sini hanyalah sekadar taraf apartmen, pengawal
keselamatan pun tidak ada," jelasnya.
Menurut Rosli, kejadian pecah rumah siang hari dan kecurian juga kerap
berlaku.
"Bulan lepas sahaja kami ada 10 kes pecah rumah dan kecurian. Malah pernah
lima kes kecurian berlaku dalam satu hari.
"Penduduk sekarang sudah takut untuk duduk di sini. Ramai yang sudah pindah,"
jelasnya.Rosli berkata, sekarang hanya terdapat kira-kira 260 keluarga
sahaja yang masih tinggal di situ berbanding 360 keluarga sebelum ini.
"Setelah empat tahun duduk di sini kami menghadapi terlalu banyak masalah,
bila diajukan kepada pihak pengurusan, mereka hanya mengambil sikap sambil
lewa sahaja.
"Pihak pengurusan masih gagal menyediakan kemudahan seperti yang dijanjikan
kepada kami," tegasnya.
|