Rumah
terbengkalai 20 tahun
22/04/2005
Berita Harian Oleh Nor Aziah Othman
PORT DICKSON: Seramai 150 pembeli rumah di projek Taman Krystal, dekat
sini masih menaruh harapan projek pembinaan rumah mereka yang terbengkalai
sejak kira-kira 20 tahun lalu dapat disiapkan secepat mungkin.
Ia berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Port Dickson, T
Rajagopalu, berjanji akan membawa perkara itu ke pengetahuan Setiausaha
Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr S Subramaniam,
minggu depan.
Rajagopalu berkata, pertemuan dengan Subramaniam dijadualkan 28 April ini
khas untuk membincangkan masalah berkenaan.
“Projek perumahan terbabit tergendala sejak kira-kira 20 tahun dan tidak
boleh dibiarkan berterusan. Untuk itu, kami akan membawa perkara ini untuk
diselesaikan dan mengambil tindakan terhadap pemaju terbabit,” katanya.
Katanya, projek berkenaan mengandungi 50 unit rumah teres setingkat dan
100 unit rumah teres dua tingkat berharga di antara RM68,000 hingga
RM160,000.
Beliau berkata, sebelum dibiarkan terbengkalai, pembinaan projek berkenaan
hampir 80 peratus siap.
“Kini banyak rumah yang siap rosak dan peralatan yang sudah dipasang
seperti alang pintu dan tingkap hilang dipercayai dicuri pihak tidak
bertanggungjawab,” katanya.
Tinjauan mendapati kawasan projek terbabit juga tidak terurus dengan
peralatan pembinaan seperti jentolak dan paip dibiarkan berlonggok begitu
saja.
Pekerja swasta, Haris Boyadi, kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab
pemaju yang terus menghilangkan diri tanpa mempedulikan beban yang
terpaksa ditanggung pembeli.
“Kami terpaksa membuat pembayaran balik pinjaman kepada institusi kewangan,
tetapi rumah yang dibeli hampir 20 tahun lalu masih belum dapat diduduki
sehingga kini,” katanya.
Katanya, taman itu mula dibina pada 1985 dan ketika itu dikenali sebagai
Taman Datuk Idris dengan pemajunya, Syarikat Kerjasama Perusahaan Baja dan
Kertas Sendirian Berhad.
“Bagaimanapun, pada 1996 projek ini diambil alih oleh Syarikat Bersatu
Maju sebelum sekali lagi diambil alih syarikat lain, Seng Huat Development
dan nama projek ditukar kepada Taman Krystal.
“Sejak itu, taman yang hampir 80 peratus siap terbengkalai dan pemajunya
tidak dapat dikesan,” katanya.
Seorang lagi pembeli, Jagjit Singh, 41, berkata dia terpaksa membayar
RM662.57 setiap bulan kepada bank sebagai bayaran pinjaman membeli rumah
berkenaan.
"Beban bertambah apabila perlu juga membayar cukai tanah kepada Pejabat
Tanah Port Dickson bersama tunggakan dari 1999 hingga 2004 serta denda
lewat bayar, manakala rumah yang dibeli belum dapat diduduki.
"Saya kini terpaksa menumpang di rumah ibu bapa kerana tidak mampu menyewa
rumah dan pada masa sama menanggung beban membayar ansuran bulanan kepada
bank," katanya. |
|