Penghuni BPK dakwa pemaju mungkir
janji
Berita Harian 23/4/2005
KLANG: Kira-kira 4,000 penghuni Bandar Puteri Klang (BPK), dekat sini,
kecewa dengan pemaju perumahan berkenaan kerana tidak menunaikan janji
menyediakan kemudahan jalan susur keluar masuk dan jejambat bagi pembeli
rumah di situ.Rata-rata pembeli projek perumahan
itu berasa tertipu kerana kebanyakan mereka membeli rumah di situ
disebabkan janji pemaju untuk menyediakan kemudahan berkenaan.
Pemaju berkenaan, Malayapine Estates Sdn Bhd, dalam
promosi jualannya pada 2002 berjanji, pembeli rumah bukan saja akan
mendapat kemudahan jalan susur ke Lebuhraya Kesas malah jejambat merentasi
lebuhraya itu bagi memudahkan mereka keluar masuk dari taman perumahan
berkenaan.
Bagaimanapun, hampir tiga tahun berlalu, bukan saja
jejambat tidak nampak bayangnya malah jalan susur juga tidak disediakan.
Akibatnya, penduduk tiada pilihan lain kecuali
menggunakan jalan utama di Taman Sentosa, yang banyak membuang masa
berbanding jika melalui Lebuhraya Kesas.
Pengerusi Persatuan Penduduk BPK, Alimudin Abu, berkata ramai pembeli
tertarik membeli rumah di kawasan itu berikutan janji pemaju untuk
menyediakan jalan susur ke Lebuhraya Kesas dan jejambat untuk kemudahan
penghuni.
"Ketika promosi jualan, mereka berkata kemudahan itu
akan siap pada Disember 2003. Malangnya, sudah dua tahun berlalu,
jangankan jejambat, jalan susur juga tiada. Kami berasa terpedaya,"
katanya ketika ditemui Sentral, baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah menemui pemaju berkali-kali
berhubung perkara itu tetapi keadaan tetap tidak berubah.
Katanya, yang terbaru, beliau menerima surat daripada
pemaju yang menyatakan jalan susur ke Lebuhraya Kesas itu sudah siap
dibina dan akan dibuka pada bila-bila masa.
"Bagaimanapun, surat itu menyatakan jalan itu belum
mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan kerana itu, ia
tidak dapat dibuka untuk kegunaan penduduk.
"Pemaju menyebut laluan itu hanya akan dibuka selepas
mendapat kelulusan LLM jika LLM berpuas hati laluan itu mematuhi
spesifikasi yang ditetapkan. Bagaimanapun, mereka tidak menyatakan bila ia
akan diluluskan dan dibuka," katanya.
Selain itu, Alimudin berkata, penduduk juga tidak
berpuas hati dengan kemudahan asas yang tidak sempurna seperti tiada
talian telefon, sistem perparitan yang tidak teratur dan keadaan padang
yang tidak boleh digunakan.
Beliau berkata, disebabkan sistem perparitan yang tidak
sempurna itu, kawasan itu sering berhadapan masalah banjir kilat setiap
kali hujan lebat, terutama di Jalan Pending 1, Jalan Pending 2 dan jalan
Sanggul 6.
Katanya, padang yang diperuntukkan juga dalam keadaan
daif dan tidak boleh digunakan kerana tidak rata dan dipenuhi batu.
"Kami diberitahu padang ini sudah diserahkan kepada
Majlis Perbandaran Klang (MPK) tetapi MPK tidak menyelenggaranya. Jadilah
kawasan itu terbiar begitu saja," katanya.
Sementara itu, Malayapine Estates dalam kenyataannya
kepada Sentral menyebut, pemaju sudah menyempurnakan pembinaan jalan susur
itu dan ia mematuhi syarat yang ditetapkan LLM, Kesas serta pakar
perunding berkaitan.'
Katanya, laluan itu dijangka dibuka dalam tempoh
terdekat ini bergantung kelulusan LLM dan Kesas.
"Laluan ini akan menghubungkan jalan utama BPK dengan
Lebuhraya Kesas," katanya.
Kenyataan itu juga menyebut keseluruhan persimpangan BPK,
yang akan menyambungkan kawasan pembangunan bahagian Utara (BPK sedia ada)
dan bahagian Selatan (kawasan yang akan dimajukan kemudian) dijangka siap
dalam masa satu tahun daripada tarikh mula pembinaan jejambat, seperti
yang dicadangkan. |