Penduduk bimbang
Harian Metro 4/4/2005
AMPANG: Kegagalan pemaju mengotakan janji menyiapkan projek pembangunan
semula setinggan di Kampung Berembang, di sini yang tertangguh sejak setahun
lalu mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduknya berikutan dasar
Setinggan Sifar 2005 yang dilancarkan kerajaan Selangor, pertengahan tahun
ini.
Mengikut perjanjian, rumah kos rendah yang dimajukan PNSB Achmar Sdn Bhd (PNSB)
itu siap sepenuhnya tahun ini tetapi sehingga kini projek berkenaan masih
terbengkalai dan menimbulkan kemarahan penduduk kampung itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azman Wahid kesal
berikutan kelewatan projek itu dan berharap PNSB menyelesaikan masalah
berkenaan secepat mungkin kerana mengganggu kelancaran pelaksanaan dasar
yang bakal dilancarkan.
"Projek berkenaan terbengkalai berikutan kesukaran mencari 102 pemilik tapak
projek bagi urusan bayaran pampasan namun selepas urusan itu selesai, projek
masih tertangguh," katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Pergerakan
Pemuda, Wanita dan Puteri Umno cawangan Kampung Berembang, semalam.
Menurut Azman, ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Setinggan baru-baru
ini, PNSB memaklumkan enggan meneruskan pelaksanaan projek itu kerana
mendakwa tapaknya terdiri batu kapur dan tidak sesuai didirikan penempatan.
PNSB diminta menyerahkan laporan lengkap bagi menyokong alasan mereka
secepat mungkin.
Azman berkata, PNSB harus bertanggungjawab dan bukannya bersikap lepas
tangan demi menjaga kepentingan penduduk yang sekian lama mengharapkan
penempatan baru lebih sempurna.
"Saya merayu pemaju meneruskan projek ini selaras dengan dasar Setinggan
Sifar 2005 dan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor dalam
waktu terdekat bagi membincangkan isu ini," katanya.
|