Pembeli kesal pemaju gagal siapkan
rumah sejak 2003
Berita Harian 20/4/2005 Oleh Md Fuzi Abd Lateh
PEMBELI meninjau sebuah rumah
terbengkalai yang gagal
disiapkan pemaju.
BUKIT BERUNTUNG: Kesal, kecewa dan marah.
Itulah nada diluahkan 48 pembeli rumah di Jalan Adenium Bandar Bukit
Beruntung selepas pemaju gagal menyiapkan projek perumahan yang dibeli
mereka.
Projek fasa 1 jenis Estella itu dibina sebuah syarikat pemaju hartanah
terkenal sejak 2002 lalu dan sepatutnya disiapkan pada Ogos 2003 lalu.
Berikutan kelewatan menyiapkan projek berkenaan, pembeli kini terpaksa
menanggung kerugian akibat pemotongan gaji oleh pihak bank dan bayaran
denda.
Tinjauan Sentral mendapati pemaju membiarkan projek perumahan teres dua
tingkat itu terbengkalai selepas hampir 80 peratus siap. Ini dilihat
melalui keadaan atap, simen dan pasir yang ditinggalkan berlonggok di
sekitar kawasan perumahan itu.
Intan
Halima
Abd Kalib
Sumber memberitahu bahawa pemaju tidak dapat meneruskan projek itu
kerana masalah tidak ada pembayaran kepada kontraktor berlesen yang
dilantik.
Semua kelengkapan rumah termasuk dinding, bumbung, lantai dan jalan
taman selesai namun hanya memerlukan kerja terakhir untuk disiapkan
seperti plaster, pendawaian elektrik dan pagar saja.
Rata-rata pembeli yang tinggal di Petaling Jaya, Bukit Sentosa, Bukit
Beruntung, Kuala Lumpur dan Ampang, malah di seluruh negara amat marah
dengan tindakan pemaju itu.
Sudah lebih 20 kali mereka membangkitkan isu berkenaan kepada pemaju
tetapi jawapan yang diterima amat mendukacitakan.
Alasan diberikan pemaju adalah sama iaitu mahu meneruskan projek itu
tidak lama lagi. Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada penyelesaian
terbaik yang dilakukan mereka.
Wakil pembeli, Intan Halima Abd Kalib, 34, berkata dia berusaha
mengumpul rakan dan menghubungi mereka bagi membincangkan perkara itu.
Katanya, dia terpaksa membayar RM500 sebulan kepada bank bagi
menyelesaikan pinjaman perumahan. Kami perlu membayar sewa rumah dan
pelbagai bayaran lagi yang merugikan.
“Jalan terakhir diambil adalah membawa perkara ini ke mahkamah bagi
menyaman pemaju itu,” katanya.
Intan berkata, mereka kerap pergi ke syarikat pemaju berkenaan di Pandan
Intan untuk membincangkan perkara ini, tetapi belum menemui jawapan
terbaik.
Bagi Meor Zawari Zakaria, 35, pemaju perlu bertanggung jawab atas
pembinaan rumah itu.
Katanya, pembeli berasa tertipu, hampa dan amat sedih kerana masih
menunggu masa menduduki rumah sendiri.
“Kami bukan mempunyai gaji besar untuk membayar pelbagai jenis bayaran
termasuklah hutang bank.
“Kami ingin membawa perkara ini kepada wakil rakyat dan Menteri Kerajaan
dan Perumahan Tempatan secepat mungkin sekiranya perkara ini masih belum
selesai,” katanya.
Rakannya, Ahmad Abu Bakar, 52, menambah projek perumahan terbengkalai
itu turut mengundang masalah lain seperti menjadi tempat menyorok
pendatang haram dari Indonesia yang lari ketika program pengampunan
selesai.
Katanya, selain merugikan pembeli dan mencacatkan pemandangan bandar
Bukit Beruntung itu ,keyakinan penduduk terhadap pemaju semakin kurang.
“Tidak guna gah dengan nama terkenal, tetapi pemaju gagal memenuhi
keperluan pembeli dengan menyiapkan projek secepat mungkin,” katanya.
|
|
|