This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Flet Pekeliling
Berita Harian 15/4/2005

KUALA LUMPUR: Mungkin tiada perkataan yang dapat digambarkan apabila mendengar kediaman yang mereka diami sejak berpuluh-puluh tahun akan dirobohkan oleh pemiliknya.

Itulah yang dirasai sebahagian penghuni Flet Pekeliling, di Jalan Tun Razak apabila mendengar kediaman mereka akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek perumahan dan komersial terancang serta sistematik.

Walaupun kebanyakan mereka gembira akan mendapat rumah baru yang lebih selesa, sedih dan sayu menyelubungi jiwa kerana selepas sekian lama tinggal di situ pasti ada nostalgia masing-masing.

Namun, perasaan sedih itu sedikit sebanyak terubat memikirkan keselesaan yang bakal dinikmati apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan rumah yang lebih selesa.

Peniaga, Jamilah Mohamad, 44, berkata jika diberi pilihan, beliau lebih gemar menetap di Flet Pekeliling kerana kedudukannya yang strategik di tengah ibu kota.
"Di sini semua kemudahan ada seperti hospital, pasar raya dan pengangkutan awam pun banyak. Kami sayang nak tinggalkan tempat ini, tetapi kalau sudah diarahkan, apa boleh buat. Kenalah ikut kerana kami pun tidak mempunyai banyak pilihan," katanya.

Bagaimanapun, beliau meminta penghuni dipindah pada akhir tahun ini memandangkan waktu itu musim cuti persekolahan bermula.

Bagi suri rumah, Hamidah Osman, 36, walaupun sedih terpaksa meninggalkan rumah yang didiami sejak 13 tahun lalu, beliau menganggap ia sebagai permulaan untuk kehidupan yang lebih selesa pada masa depan.

"Di sini memang cukup segalagalanya, kalau tidak saya tidak akan bertahan dan tinggal di sini hingga 13 tahun. Tetapi ia tidak sesuai lagi kerana rumah ini hanya mempunyai satu bilik. Bagi yang tidak mempunyai anak ramai tidak kisah sangat tetapi jika anak lima atau enam anak sudah tentu menyukarkan," katanya.

Pesara DBKL, M Suppaya, 68 yang tinggal di perumahan itu sejak 24 tahun lalu meminta DBKL mempertimbangkan hasratnya untuk tinggal di kawasan yang lebih dekat dengan ibu kota memandangkan dia tidak begitu sihat.

"Saya menghidap lelah dan kerap bergantung dengan ubat-ubatan. Jika berpindah ke perumahan baru yang jauh sudah tentu timbul masalah untuk berulang alik ke hospital," katanya.

Bagi ibu tunggal beranak tiga, M Devi, rumah di Taman Seri Rampai tidak mempunyai tempat menyidai kain dan akan menyulitkan penghuni yang mempunyai keluarga besar.

Bagaimanapun katanya, penghuni akan membangkitkan masalah berkenaan kepada DBKL pada majlis dialog yang akan diadakan malam ini. Devi yang menyewa di Blok A dengan kadar RM94 sebulan mengakui rumah di penempatan baru itu lebih selesa.

Bagi Ong Ken Lim, 33, yang menetap di Blok K dan menyewa sebuah lot kedai blok yang sama dengan kadar sewa RM210 sebulan sedang menunggu pengesahan DBKL untuk notis perpindahan.

Fakta Flet Pekeliling
* Nama sebenar adalah Perumahan Awam Tuanku Abdul Rahman tetapi lebih dikenali sebagai Flet Pekeliling.
* Mempunyai tujuh blok 17 tingkat dan empat blok rumah kedai empat tingkat.
* Dilancarkan pada 1967 oleh Suruhanjaya Ibu Kota dengan peruntukan RM20.5 juta dan dibina dalam Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) pada 1969.
* Rumah pangsa kedua di ibu negara selepas Perumahan Awam Razak Mansion di Sungai Besi bagi menempatkan golongan berpendapatan rendah dan penduduk setinggan.
* Keseluruhan kawasan 14.96 hektar n Sebanyak 2,564 penyewa akan dipindahkan ke Perumahan Awam Taman Seri Rampai Satu dan Dua, Setapak.
* Sebanyak 404 pemilik dipindahkan ke Bandar Baru Sentul.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.