Bangunan
tinggi KL disahkan selamat
Harian Metro 5/4/2005
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan semua
bangunan tinggi di ibu kota selamat diduduki dan tiada keretakan
dilaporkan berikutan gegaran yang melanda pada 29 Mac lalu.
Pegawai Perhubungan Awam DBKL, Hanim Hashim, berkata, gempa bumi berukuran
8.7 pada skala Richter di Sumatera, Indonesia pada jam 12.05 pagi waktu
tempatan, menyebabkan orang ramai yang tinggal di bangunan tinggi berasa
gegaran.
“Sehubungan itu Bahagian Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan DBKL,
mengambil tindakan menjalankan pemeriksaan dan menemu bual penduduk
terbabit.
“Siasatan dilakukan pada hari sama berlaku gegaran adalah berpandukan
kaedah pemeriksaan keseluruhan termasuk bahagian dinding, lantai, struktur
dan kaki lima bangunan selain menemu bual penduduk,” katanya dalam
kenyataan di sini, semalam.
Pemeriksaan itu dilakukan bagi mengenal pasti kerosakan atau keretakan
bangunan dan menentukan jika ada tanda awal bangunan mengalami kegagalan
struktur.
“Hasil siasatan, tiada kerosakan ditemui pada bangunan, malah rekahan
kecil pada dinding dan kaki lima sebilangan bangunan didapati wujud
sebelum gegaran itu.
“Selain itu, struktur bangunan yang terbabit dalam gegaran itu tidak
terjejas dan kesannya adalah minimum,” katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah jangka panjang, bangunan tinggi perlu
menjalani pemeriksaan secara berkala untuk memastikan kekukuhan struktur
tidak terjejas. |
|
|