Takut bumbung kondo jatuh lagi
Harian Metro 19/3/2005 Oleh Halimah Nurzainah Rusmani
SELAYANG: Penghuni Kondominium Villa Lagenda, di sini bimbang keselamatan
mereka terancam berikutan insiden bumbung kondominium berkenaan jatuh,
Isnin lalu.
Harian Metro difahamkan, dalam kejadian itu, bumbung Blok A kondominium
itu terjatuh dan menghempap sebuah kereta milik penghuni kondominium
sehingga rosak teruk.
Penghuni itu, Nyew Lee Huang, 40, berkata kejadian berlaku ketika hujan
dan dia tidak menyedari kerosakan keretanya sehingga diberitahu pengawal
keselamatan kondominium yang menelefon pada jam 2.40 petang.
“Saya tidak bekerja pada hari kejadian kerana sakit kaki dan saya terkejut
apabila diberitahu pengawal kereta saya dihempap bumbung yang terjatuh.
“Kini saya terpaksa memikirkan bagaimana untuk membaiki kereta saya yang
rosak itu memandangkan pihak pengurusan kondominium tidak mahu menampung
kos membaik pulihnya,” katanya yang sudah lima hari tidak bekerja kerana
menghadapi masalah pengangkutan untuk ke tempat kerja.
Nyew berkata, beliau sekeluarga baru enam bulan menetap di kondominium itu.
Bagi penghuni tingkat 20 Blok A kondominium itu, Choy Chong, 50, sejak
insiden bumbung terjatuh itu berlaku, kemudahan lif bagi blok berkenaan
turut tidak berfungsi dan sekali gus menambahkan bebanan penduduk
kondominium itu.
“Saya tinggal di tingkat tertinggi kondo ini dan sejak Isnin lalu kami
sekeluarga terpaksa menggunakan tangga kerana kedua-dua lif Blok A rosak.
“Seolah-olah bayaran penyelenggaraan berjumlah lebih RM500 sebulan tidak
mendatangkan apa-apa faedah kepada kami kerana kemudahan lif tidak dibaiki
dengan segera selepas insiden bumbung runtuh Isnin lalu,” katanya yang
kesal dengan cara pihak pengurusan kondominium itu menjalankan tugas.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw menggesa Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab menyerahkan sijil
layak menduduki (CF) kepada pihak pemaju segera mengkaji punca insiden
bumbung yang terjatuh itu dan dapat menyelesaikan segala kesulitan dengan
segera. |
|
|