Ceroboh hutan: Penguat
kuasa cuai juga patut dihukum
02/03/2005 Berita Harian Sang Lamri
ISU pembangunan berhampiran Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri
Alam yang mencetuskan kontroversi kerana menjejaskan sistem ekologi dan
alam sekitar di kawasan berkenaan, nampaknya sudah mula reda. Barangkali
juga isu itu sudah dianggap selesai, terutama selepas empat pemaju didakwa
di Mahkamah Sesyen Shah Alam lebih seminggu lalu.
Pemaju terbabit termasuk anak syarikat kerajaan negeri sendiri -
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta dua syarikat lain, Restu
Mantap Sdn Bhd dan Dacing Kota Sdn Bhd, didenda berjumlah lebih RM800,000
selepas mengaku salah menjalankan kerja tanpa kelulusan di Seksyen U10,
berhampiran taman pertanian berkenaan.
Satu lagi syarikat, Green Hill View Sdn Bhd, bagaimanapun tidak mengaku
salah dan minta dibicarakan manakala dua pemaju lain, Lunas Hati Sdn Bhd
dan Indi Makmur Sdn Bhd yang sepatutnya turut didakwa pada 11 Mac lalu,
tidak hadir berikutan pendakwa gagal menyerahkan saman. Enam syarikat
terbabit adalah antara sembilan pemaju yang sebelum ini dilaporkan akan
didakwa di mahkamah kerana menjalankan pembangunan tanpa kebenaran di
kawasan itu.
Sang Lamri memuji tindakan tegas kerajaan Selangor mengheret pemaju
terbabit ke mahkamah, tanpa mengamalkan sikap pilih kasih termasuk yang
membabitkan anak syarikatnya, PKNS. Hukuman itu diharap dapat memberi
pengajaran agar pemaju terbabit serta syarikat lain tidak mengulangi
kesalahan itu.
Persoalannya, bagaimana pula dengan kakitangan atau pegawai pihak berkuasa
tempatan atau agensi berkaitan yang sepatutnya bertanggungjawab memantau
dan menguatkuasakan undang-undang selepas meluluskan projek berkenaan?
Sang Lamri tidaklah berniat untuk mencari kesalahan mana-mana pihak,
tetapi agak mustahil kerakusan pemaju terbabit menebang pokok berhampiran
taman pertanian berkenaan tidak disedari kerana perbuatan itu bukan baru
berlaku sehari dua, malah kawasan itu juga terletak tidak jauh dari pusat
pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sendiri sebelum ini
mengakui beliau tidak berpuas hati dengan ketua jabatan berkaitan kerana
pembangunan diluluskan, tetapi penguatkuasaan dan pemantauan tidak
dilakukan.
Kita akui kerajaan negeri sudah pun memperkenalkan berapa pendekatan dan
peraturan baru, termasuk menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai
Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Ramlan Othman, untuk memastikan semua
projek yang telah diluluskan atau akan diluluskan pada masa depan, mesti
mengikut peraturan. Dr Mohamad Khir juga memberi jaminan beliau sendiri
akan turun padang setiap dua hari sekali bagi meninjau dan memantau kerja
pemulihan di Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam.
Namun, kita percaya apa pun tindakan, termasuk mengheret pemaju terbabit
ke mahkamah atau memperkenalkan undang-undang dan peraturan baru, tidak
akan menyelesaikan sepenuhnya masalah berkenaan selagi masih ada
kakitangan dan pegawai yang tidak amanah, cuai atau memandang mudah soal
pemuliharaan alam sekitar.
Justeru, Sang Lamri berpendapat kakitangan dan pegawai yang cuai atau
gagal melaksanakan amanah rakyat, seharusnya turut dihukum bagi
menggambarkan ketelusan kerajaan negeri dalam menangani isu itu serta
memastikan pihak berkaitan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab sebelum
meluluskan sebarang projek pada masa akan datang.
|
|
|