REDHA:
Sektor pembinaan tidak terjejas
21/03/2005 UtusanKUALA LUMPUR 20 Mac - Sektor pembinaan negara ini
diyakini tidak akan terjejas dengan langkah tegas yang sedang dijalankan
kerajaan untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin.
Menurut Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA),
Datuk Ng Tiong Lip berkata, ini kerana kebanyakan pemaju perumahan
terutama sektor swasta hanya mengambil pekerja asing yang sah.
Beliau memberitahu Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, sikap
berhati-hati itu berdasarkan pengalaman mereka ketika menghadapi masalah
pekerja pembinaan ekoran keputusan kerajaan menghentikan sementara pekerja
Indonesia pada tahun 2002.
Katanya, ketika itu para pemaju bukan sahaja berhadapan dengan pekerja
tetapi terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit bagi membayar
pampasan ekoran kelewatan menyiapkan projek masing-masing.
``Pada tahun itu (2002) memang kebanyakan pemaju menghadapi masalah
pekerja tetapi kini tidak lagi.
``Pengalaman dulu banyak menjadikan para pemaju perumahan lebih
berhati-hati terutama dalam aspek pengambilan pekerja asing,'' kataya.
Bahkan, tambah Tiong Lip, kajian berhubung masalah pekerja asing yang
dijalankan oleh REHDA terhadap 30 pemaju terkemuka baru-baru ini,
mendapati keputusan kerajaan itu langsung tidak memberi kesan terhadap
projek-projek mereka.
Malah, mereka mendakwa bilangan pekerja asing di sektor pembinaan sudah
mencukupi.
Mengenai pengumuman kerajaan untuk membawa masuk pekerja dari Pakistan,
Tiong Lip berkata, pihaknya menyambut baik langkah tersebut.
``Negara mana pekerja ini berasal tidak penting kerana majikan lebih
mengutamakan pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi, berdisiplin dan
senang dilatih,'' katanya.
|