Dinding flet Pandan Utama retak
Harian Metro 30/3/2005 Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhd Izawan
Baharin
AMPANG: Penduduk rumah pangsa Pandan Utama di sini, dilanda kebimbangan
berikutan penemuan kesan retak pada dinding bangunan itu yang didakwa
berpunca daripada gegaran tengah malam, semalam.
Keretakan itu dapat dilihat dengan jelas di beberapa sudut bangunan
terbabit seperti di dinding tempat letak kereta dan longkang.
Kebimbangan penduduk juga semakin ketara kerana tapak bangunan tempat
tinggal mereka itu berhampiran dengan kawasan bekas lombong.
Penduduk, Mohd Syawal Abdul Rahim, 45, berkata mereka dapat mengesan
beberapa keretakan selepas memantau bangunan terbabit kira-kira jam 12.30
tengah malam semalam.
“Beberapa penduduk yang memeriksa sekitar bangunan mendapati ada kesan
retakan yang mungkin berpunca daripada gegaran itu kerana sebelum ini
tidak ada tanda sedemikian,” katanya yang juga Ketua Umno cawangan flet
berkenaan.
Beliau berkata, kesan gegaran berkenaan dapat dirasai penduduk yang
tinggal di bangunan 13 tingkat, terutama mereka yang menginap di tingkat
empat ke atas.
“Kira-kira 250 penduduk tinggal di sini, kami berkumpul di kawasan lapang
di luar bangunan selepas merasai gegaran malam tadi,” katanya.
Menurutnya, penduduk tidak berani naik semula ke rumah masing-masing
sehingga jam 2 pagi.
Abudin Hashim, 53, berkata dia merasai gegaran kuat ketika menonton
televisyen bersama keluarga.
“Kami meluru keluar sambil saya menjerit supaya penduduk lain turun
menyelamatkan diri.
“Itu pertama kali berlaku pada saya sejak tinggal di sini hampir dua tahun
lalu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka, Datuk Mad Aris
Mad Yusuf yang melawat bangunan berkenaan bersama wakil syarikat pemaju
projek rumah pangsa itu berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana
keretakan berkenaan tidak serius.
“Pemaju juga berjanji akan memantau bangunan terbabit dari semasa ke
semasa dan jika berlaku keretakan serius, mereka akan mengambil tindakan
sewajarnya,” katanya. |
|
|