Amfinance,
Ferrier pulihkan Sri Impian
utusan.com.my 12/3/2005KUALA LUMPUR 11 Mac
- AmFinance Bhd. dan Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. mengumumkan hari ini
mereka akan memulihkan pembinaan projek Kondominium Sri Impian di Jalan
Ang Seng, Brickfields, Kuala Lumpur, yang sebelum ini dihentikan.
Dalam satu kenyataan, Ferrier Hodgson berkata, projek itu dimulakan Mac
1997 dan siap hampir 32 peratus sebelum kerja dihentikan November 2000
kerana pemajunya, Li-Foong Housing Development Sdn. Bhd. menghadapi
masalah kewangan.
Dengan nilai pembangunan kasar (NPK) awal bernilai RM45 juta, semua
kecuali tiga daripada 249 unit telah dijual.
Heng Ji Keng dan Michael J. Monteiro daripada Ferrier Hodgson MH dilantik
oleh pemegang gadaian, AmFinance, sebagai penerima dan pengurus projek
pada 6 Februari 2004 dan sejak itu mendapat persetujuan daripada 162
pemilik unit untuk skim pemulihan.
Pembinaan yang dimulakan semula bulan ini dijangka mengambil masa dua
tahun untuk disiap. ``Kami yakin dapat menyerahkan unit-unit kondominium
kepada para pemilik mengikut jadual,'' kata Monteiro.
Ferrier Hodgson berkata skim pemulihan projek itu juga mendapat sokongan
daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Perunding projek dan kontraktor yang dilantik untuk memulihkan Kondominium
Sri Impian adalah Robert Bird & Associates Sdn. Bhd. selaku jurutera sivil
dan struktur, Arkitek Habitas (arkitek), C.Y. Tay Perunding (jurutera
mekanikal dan elektrik), Juru ukur Bahan FPS Sdn. Bhd. (juru ukur bahan/pengurus
projek) dan Conlay Construction Sdn. Bhd. (kontraktor utama). - Bernama
|