Sikap tamak punca pemaju terus
perdaya pembeli
21/02/2005 Harian Metro
PUTRAJAYA: Sikap terlalu berlembut dengan pemaju perumahan mendorong mereka
terus bersikap tamak dan menipu pembeli menyebabkan rumah terbengkalai 10
hingga 20 tahun.
Pengerusi Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Tengku
Adnan Tengku Mansor, berkata tindakan menyenaraihitamkan pemaju bermasalah
tidak memberi kesedaran kepada mereka.
"Kita terlalu berlembut dengan pemaju kerana itu masalah projek rumah
terbengkalai 10 hingga 20 tahun tidak dapat diselesaikan," katanya.
Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, berkata pemaju biasanya
menggunakan nama keluarga atau rakan untuk terus beroperasi apabila
disenaraihitamkan.
"Sukar mengesan mereka apalagi jika menggunakan nama rakan dan ini
menyebabkan masalah penipuan kepada pembeli berterusan," katanya.
Beliau berkata, pemaju tidak bertanggungjawab ini akan memungut hingga 85
peratus wang daripada pembeli dan kemudiannya meninggalkan projek itu begitu
saja sebelum memulakan projek lain.
"SPNB perlu bertanggungjawab dan berusaha berunding menyelesaikan masalah
ini demi kepentingan pembeli dan ada j pemaju yang enggan menyerahkan projek
terbengkalai sudah 10 tahun kerana menganggap mereka boleh menyiapkannya,"
katanya.
Beliau berkata, 172 projek perumahan terbengkalai bernilai RM3.2 bilion
disenaraikan di seluruh negara dan SPNB berusaha memulihkannya.
"Pemaju begini perlu diberi pengajaran dengan meminda akta sedia ada
membolehkan mereka dipenjara," katanya.
|