Rumah di sebelah kubur
Berita Harian 15/2/2005
GOMBAK: Ketika membeli rumah dua tingkat dan dua setengah tingkat di Taman
Bukit Permata, dekat sini beberapa tahun lalu mereka dimaklumkan kawasan
tanah lapang seluar 6.3 hektar di taman perumahan itu adalah hak milik
persendirian yang akan dibangunkan oleh pemiliknya kemudian.
Mereka pernah bertanya ketika proses pembelian rumah
berkenaan dan pemaju meyakinkan ia adalah tanah persendirian. Begitu juga
ketika menandatangani perjanjian jual dan beli (S&P) pada pertengahan
2001.
Namun selepas berpindah ke kediaman baru itu sejak awal
April tahun lalu, kesangsian penduduk terjawab apabila dimaklumkan ia
adalah tanah perkuburan yang dirizabkan sejak 1989.
Justeru, mereka mendakwa pemaju menipu kerana mereka
sebenarnya membeli kediaman bersebelahan tanah perkuburan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Permata, Zainal
Abidin Ahmad, berkata kebanyakan pembeli hanya mengetahui mengenai status
tanah itu selepas mendapat kunci dan mula menduduki kediaman berkenaan
pada April 2004.
Katanya, penduduk berasa tertipu kerana perkara itu
hanya diketahui selepas penyerahan kunci rumah masing-masing.
"Status tanah kubur itu terbukti dengan kewujudan lima
kubur Cina pada pertengahan tahun lalu, selain tiang merah menandakan
sempadan antara tanah perkuburan masyarakat Cina dan Islam serta kawasan
perumahan.
"Selain itu, penduduk diberitahu mengenai cadangan pihak
tertentu untuk mendirikan tempat pembakaran mayat serta kawasan upacara
pengebumian berdekatan kawasan perumahan," katanya.
Tinjauan Sentral mendapati ada lima kubur masyarakat
Cina di kawasan lapang yang dirizabkan sebagai tanah perkuburan Cina,
manakala tapak perkuburan untuk masyarakat Islam masih kosong.
Selain itu, sebanyak 50 rumah dua tingkat dengan
bahagian belakang rumah berkenaan bersempadan tapak kubur. Malah, tiada
sebarang papan tanda diletakkan untuk memaklumkan mengenai kewujudan tapak
kubur
berkenaan.
Kawasan perumahan Taman Bukit Permata mempunyai 288 unit
rumah dua setengah tingkat dan 200 unit rumah dua tingkat. Harganya pula
antara RM299,000 hingga RM655,000.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk, Govindamasamy
Masilamany, berkata sepatutnya pemaju memaklumkan kepada pembeli sebelum
menjual kediaman itu. Katanya, persatuan penduduk sudah membuat aduan
kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berhubung masalah itu dan kami
diberitahu bahawa tanah lapang itu adalah tapak kubur yang dirizabkan
sejak 1989.
"Jika pembeli tahu mengenai kewujudan tapak kubur itu,
sudah tentu kami tidak membelinya kerana bukan saja akan menjatuhkan nilai
hartanah malah mendatangkan kebimbangan kepada kanak-kanak," katanya.
Seorang pembeli, Peter Tan, pula berkata tanah
perkuburan masyarakat Cina itu juga merangkumi kawasan belakang tapak
surau yang dicadangkan pemaju kepada masyarakat Islam.
Katanya, cadangan pemaju itu jelas menunjukkan mereka
tidak prihatin terhadap sensitiviti masyarakat Islam. "Kami tidak berpuas
hati dengan kerana akan mendatangkan risiko jangka panjang kepada pembeli,
termasuk penurunan nilai rumah pada masa depan.
Selain itu, bagi masyarakat Cina, membeli rumah
berdekatan tanah perkuburan membawa petanda tidak baik serta tidak
mempunyai ciri-ciri 'feng-shui' dalam memilih tapak kediaman," katanya.
Sehubungan itu, penduduk memohon Pejabat Tanah Daerah
Gombak, MPS dan pemaju perumahan mengambil tindakan segera mengatasi
masalah berkenaan kerana kebanyakan pembeli akan menjual kediaman jika
tanah kubur itu tidak dimajukan dijadikan taman rekreasi. |