Pusat komersial terbiar
Berita Harian 4/2/2005 Oleh Zuraidah Mohamed
AMPANG JAYA: Taman Komersial Pandan Indah yang dibina lebih enam tahun
lalu sebagai pusat perniagaan kini tidak dapat dibanggakan penduduk,
apatah lagi untuk dianggap sebagai kawasan selamat.
Pusat komersial yang menempatkan 1,075 unit kedai, pejabat dan kediaman,
kebanyakan diceroboh, manakala unit kosong dijadikan kawasan penempatan
warga asing, selain kegiatan menagih dadah, pelacuran dan stor barang curi.
Deretan bangunan tiga tingkat terletak kira-kira dua kilometer dari
pejabat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) didakwa menjadi kawasan
jenayah dan penempatan pendatang haram, terutama Indonesia dan Myanmar.
Tinjauan Sentral mendapati ia kini mati, kotor dan vandalisme berleluasa
serta dihuni warga asing. Difahamkan, hampir 80 peratus pemilik premis
tidak mempedulikan hartanah mereka berikutan kegagalan pemaju
menyelenggara dan menguruskannya dengan baik.
Malah, ada pemilik premis sanggup menanggung kerugian dengan menawarkan
sewa serendah RM100 sebulan. Keadaan bangunan juga sangat kotor, tangganya
retak serta tiada tempat letak kereta yang sempurna.
Pemilik premis dan penduduk mendakwa sudah beberapa kali mengadu kepada
pemaju dan MPAJ tetapi tiada tindakan diambil.
Seorang penyewa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, beliau dan
suaminya yang berasal dari Indonesia menyewa rumah kedai di situ sejak dua
tahun lalu pada kadar sewa RM300 sebulan.
Katanya, kebanyakan penyewa adalah warga asing dan mereka menyewa pada
kadar sangat murah.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ong Tee Keat yang juga Ahli
Parlimen Pandan yang melawat kawasan itu baru-baru ini turut kecewa
terhadap sikap pemaju yang seakan-akan lepas tangan.
Beliau mengakui pendatang asing bermaharajalela sehingga ada yang berani
menceroboh dan menjadikan premis sebagai penempatan dan menjalankan
pelbagai perniagaan haram.
“Kawasan ini sangat daif dan kotor. Kebanyakan rumah kedai dijadikan
tempat tinggal pendatang asing. Pencerobohan sering berlaku, termasuk
kecurian harta benda seperti penghawa dingin, kipas dan televisyen
membabitkan kediaman rumah kedai milik penduduk setempat,” katanya.
Tempat letak kereta bertingkat juga dipagar dan ditutup kepada orang awam
oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kami mendapati kawasan ini dijadikan pusat perniagaan papan iklan dan
asrama pekerja. Lebih mengecewakan syarikat terbabit turut menerima
tempahan daripada agensi kerajaan.
“Sebelum ini, Persatuan Pemilik Taman Komersial Pandan Indah ada
menghantar notis kepada MPAJ. Mereka menyatakan Jabatan Perancang Bandar
pernah menolak permohonan lesen pusat perniagaan papan iklan itu kerana
bercanggah dengan syarat kegunaan bangunan.
“Bagaimanapun, kami tidak faham kenapa perkara ini berlaku dan tiada
tindakan oleh MPAJ,” katanya.
Sehubungan itu, Ong akan meminta MPAJ dan pemaju mengemukakan laporan
sebenar masalah di kawasan itu secepat mungkin.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pemilik Hartanah Taman Komersial
Pandan Indah, Quek Boon Kim, berkata kawasan itu turut dijadikan pasar
oleh penjaja haram setiap Sabtu seawal jam 7 pagi.
“Kami sudah tidak tahan lagi dengan keadaan ini. Tiga tahun lalu, penduduk
mengalami masalah mendapatkan bekalan air dan elektrik dan tindakan pemaju
juga sangat lambat.
“Kini, timbul pula masalah jenayah dan jika tidak dibendung dari sekarang
ia pasti menjejaskan keselamatan penduduk. Kami juga difahamkan pengurusan
kawasan ini akan diserahkan kepada MPAJ, tetapi senyap saja,” katanya.
Quek yang turut menyewakan premisnya kepada penduduk Bumiputera, berkata
penyewa sering mengadu kepadanya mengenai premis yang kerap diceroboh dan
kehilangan banyak harta benda. |
|
|