Pembeli kecewa
rumah dekat kubur
02/02/2005
Berita Harian
SAYA membeli sebuah rumah teres dua setengah tingkat di Taman Bukit
Permata, berdekatan Taman Sri Gombak, pada 2002. Tahun lalu, pemaju rumah
menyerahkan kunci.
Selepas berpindah, alangkah terkejutnya kami apabila pada Julai, tiba-tiba
ada mayat seorang lelaki berketurunan Cina ditanam berdekatan dengan
kawasan perumahan kami dan sehingga kini lima mayat ditanam di kawasan itu,
yang tidak mempunyai sebarang papan tanda kawasan perkuburan.
Tanpa sebarang makluman sebelum ini, dengan tiba-tiba saja pendudukdi
Taman Bukit Permata dikejutkan dengan sebuah kubur Cina berdekatan taman
perumahan mereka.
Kami amat kecewa kerana terperangkap dalam keadaan ini tanpa diberitahu
oleh pemaju, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah Daerah
Gombak.
Sebelum ini, saya menetap di pangsapuri sederhana berhampiran selama lebih
10 tahun, dan mengambil keputusan membeli rumah yang lebih selesa,
malangnya pihak tertentu sengaja merahsiakan mengenai kubur seluas 6.3
hektar berhampiran kawasan perumahan berkenaan kepada pembeli.
Apa yang mendukacitakan kami ialah mengapa tanah perkuburan ini digunakan
selepas penyerahan kunci pada 2004 sedangkan tanah ini diwartakan pada
1989 sebagai kubur, lebih 15 tahun yang lalu.
Mengapa pihak berkuasa tidak meletakkan papan tanda untuk menyatakan
adanya kubur di kawasan ini. Kini pemaju melepaskan tangan dengan
menyatakan mereka tidak mengetahui kewujudan tanah perkuburan itu.
Kami tidak faham bagaimana MPS dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT) boleh meluluskan projek perumahan ini yang begitu dekat
dengan tanah kubur yang belum beroperasi.
Kami kini menanggung gangguan emosi, tekanan psikologi, kejatuhan nilai
hartanah, gangguan mental dan fizikal setiap kali kami keluar masuk dari
kawasan perumahan.
Sekiranya kami mengetahui adanya tanah kubur bersebelahan perumahan kami,
mustahil kami akan membeli rumah berkenaan. Kini kami berasa tertipu dan
menanggung pelbagai risiko.
Lebih malang perbincangan dengan pihak pemaju, KPKT, MPS, Adun Gombak
Setia, tidak membuahkan sebarang penyelesaian masalah.
ABDUL RAHMAN GAFFOOR,
Taman Bukit Permata,
Batu Caves, Selangor. |