Gempar Bumbung Runtuh
11/02/2005
Harian Metro
BALAKONG: Seramai 135 penghuni di Apartmen Juara Suria, Taman Juara Jaya,
di sini gempar seketika apabila bumbung perhiasan di tingkat sembilan
bangunan itu runtuh malam tadi.Kejadian kira-kira
jam 10 malam itu menyebabkan penduduk ketakutan sekiranya berlaku kejadian
lain, lebih-lebih lagi membabitkan keselamatan mereka.
Pengerusi persatuan apartmen itu, Halim Md Noor, 35,
berkata kejadian itu membimbangkan penduduk yang baru menetap di situ
hampir satu setengah tahun lalu.
"Kejadian ini bukan pertama kali dan kami pernah
memaklumkan kepada pihak pemaju berhubung masalah yang dihadapi, namun
tidak menampakkan sebarang perkembangan.
"Mungkin pemaju beranggapan masalah yang dihadapi tidak
sebesar mana, namun kami bimbang dengan keselamatan anak kami, apatah lagi
terdapat beberapa kesan keretakan sudah pun dikesan," katanya.
Tinjauan Harian Metro yang turut disertai Ahli Parlimen
Serdang, Datuk Yap Pian Hon mendapati tiada penduduk berada di bawah
ketika bumbung perhiasan itu runtuh.
Mengulas masalah yang dihadapi penduduk, Yap berkata,
dia akan menjalankan siasatan mengenai kejadian itu sebelum memaklumkannya
kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk tindakan
susulan.
"Setakat ini, saya sudah menerima dua laporan keretakan
berasingan membabitkan kawasan perumahan teres dua tingkat di Bukit Mewah,
Kajang dan Taman Tenaga, Bangi.
"Namun ini adalah kejadian ketiga dan saya harap MPKj
dapat melakukan siasatan, selain memaklumkan kepada Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya. |