Bumbung
pangsapuri runtuh lagi
Berita Harian 14/2/2005 Oleh Wan Noriza Meor Idris
BALAKONG: Penduduk pangsapuri Juara Suria, di sini, gempar dengan kejadian
bumbung tingkat sembilan bangunan itu runtuh, baru-baru ini.
Mereka khuatir kejadian itu boleh berulang dan membabitkan kehilangan
nyawa.
Penduduk mendakwa bumbung itu pernah runtuh beberapa bulan lalu tetapi
pemaju tidak mengambil tindakan sehingga kejadian kedua berlaku kira-kira
jam 10 malam kelmarin.
Pengerusi Persatuan pangsapuri itu, Halim Mohd Nor, 35, berkata penduduk
memaklumkan kepada pihak pengurusan dan pemaju masalah itu, namun tiada
sebarang tindakan.
“Kejadian pertama hanya membabitkan sebahagian kecil bumbung tetapi apa
yang terjadi kelmarin amat dahsyat kerana bumbung dua buah rumah runtuh
pada masa sama.
“Mujur tiada orang yang lalu lalang di bawah berikutan hujan renyai. Jika
tidak pasti ada yang cedera parah atau maut,” katanya.
Halim berkata, pemaju seperti melepaskan batuk di tangga kerana
beranggapan masalah itu tidak serius.
Bagaimanapun, beliau berkata, tinjauan Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap
Pian Hon mendapati masalah itu amat serius dan perlu dipantau secepat
mungkin kerana mengancam nyawa penduduk terutama kanak-kanak.
“Tinjauan juga mendapati ada kesan rekahan lain dan jika tiada lagi
tindakan diambil, mungkin bangunan ini turut runtuh,” katanya.
Sehubungan itu, Yap berkata, walaupun tiada kecederaan, kejadian ini perlu
dipantau segera agar tiada kemalangan berlaku pada masa akan datang.
“Saya memaklumkan kejadian ini kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran
Kajang (MPKj) untuk tindakan susulan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)
kerana pejabat tidak dibuka pada cuti umum.
“Sekarang saya menunggu jawapan daripada beliau dan akan datang ke MPKj
Isnin ini.
“Selain itu, saya juga memaklumkan kejadian ini kepada Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya siasatan dibuat lebih
mendalam,” katanya.
Yap berkata, hasil tinjauan beliau turut mendapati air tangki di bumbung
pangsapuri itu bocor dan lantai tingkat atas bumbung itu dibanjiri air.
“Kejadian ini membuka pekung di dada pihak pemaju kerana selama ini tidak
menguruskan pangsapuri ini dengan baik walaupun penduduk membayar wang
pengurusan setiap bulan.
“Sikap tidak bertanggungjawab pemaju boleh mendatangkan masalah lain
seperti denggi kerana air yang bertakung di bumbung adalah sarang yang
baik bagi jentik-jentik membiak,” katanya.
Yap berkata, mungkin disebabkan air yang melimpah ini mengakibatkan kayu
penahan bumbung yang dipenuhi anai-anai ini lembap, reput dan seterusnya
runtuh.
“Saya juga akan memaklumkan kejadian ini kepada Jabatan Kerja Raya agar
masalah dapat diselesaikan secepat mungkin kerana cuaca yang kerap hujan
dan panas memburukkan lagi keadaan,” katanya. |
|
|