Boleh runtuh
bila-bila masa
Harian Metro 17/2/2005
KAJANG: Kebimbangan 42 penghuni di Jalan 20 dan 21, Taman Bukit Mewah, di
sini yang mengalami masalah keretakan rumah di tahap serius dan tidak
selamat diduduki mendapat perhatian Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana
Menteri (JPM).Lawatan tiga jam bermula jam 9 pagi
itu diketuai Timbalan Ketua Pengarah Satunya, Datuk Nahrawi Hashim,
bersama Pengarah Cawangan Tengah BPA , Asmawar Samat, Ahli Parlimen
Serdang, Datuk Yap Pian Hon, wakil Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan
penduduk.
Harian Metro yang mengikuti lawatan dalam siasatan itu
mendapati, keadaan struktur rumah teres di Jalan Bukit Mewah 20 dan 21 itu
retak teruk terutama dinding dan silingnya yang merekah.
Selain struktur asas tidak kukuh, penduduk diancam
bahaya apabila terpaksa memikirkan cerucuk rumah yang boleh runtuh
bila-bila masa. Masalah keretakan itu berlaku sejak 1999, namun tidak
menampakkan sebarang kesan positif dan tindakan sewajarnya daripada pemaju.
Nahrawi berkata, pihaknya memandang serius masalah yang
dihadapi penduduk perumahan itu dan akan mengadakan mesyuarat minggu depan.
"Nampaknya tahap keretakan rumah teres di sini begitu
serius dan perlu diambil tindakan segera. "Kami harap pertemuan itu
mendapat kata putus daripada semua pihak untuk menyelesaikan pelbagai
masalah berbangkit yang dijangka dihadiri
pemaju, BPA, MPKj, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan penduduk,"katanya. Beliau berkata, pelbagai agenda penting akan dibangkitkan dalam
mesyuarat itu kelak, termasuk membincangkan kos baik pulih, cukai pintu
dan isu lain. "MPKj melantik Ikram sebagai badan penyiasat bebas untuk menyelidiki
masalah itu, lebih-lebih lagi membabitkan soal keselamatan.
"Hasil laporan siasatan pada Ogos tahun lalu itu mendapati pemaju tidak
menepati spesifikasi pembangunan, mengakibatkan berlaku keretakan hingga
mengundang bahaya," katanya yang menganggarkan kos baik pulih dan bina
semula bernilai RM600,000. Penduduk, Poniah Ahmad, 47, berharap mesyuarat itu disegerakan bagi
menyelesaikan masalah yang boleh mengancam nyawa."Setiap malam tidur kami tidak lena kerana sering dibayangi mimpi
ngeri, apatah lagi hidup dalam rumah yang tidak selamat diduduki. "Mungkin hari ini penduduk di sini selamat, tetapi tidak mustahil suatu
masa kelak bencana buruk akan berlaku," katanya.
Jirannya, Low Chin Li, 50, berharap pemaju mengambil inisiatif dan
tidak lepas tangan dalam menangani masalah ini.
"Saya tidak mahu mereka menabur janji kosong," katanya. |