Pembeli pangsapuri rayu
segerakan CF
29/12/2005 Kosmo
PUTRAJAYA - Isu kelewatan pemberian Sijil Layak Menduduki (CF) bukan cerita
baru!
Walaupun banyak kes telah disiarkan di media cetak dan elektronik, isu itu
terus 'membelenggu' pembeli rumah termasuk penghuni Pangsapuri Putra Damai,
Presint 11 di sini.
Kebanyakan pembeli unit di pangsapuri itu mengharapkan simpati pemajunya,
Putra Homes Sdn. Bhd., untuk mempercepatkan pemberian CF bagi meringankan
beban mereka.
Salah seorang pembeli, Idris Hashim, 32, memberitahu, pada masa ini, dia
bukan sahaja terpaksa membayar wang ansuran untuk unit kediaman pangsapuri
yang dibelinya, malah terpaksa membayar sewa rumah yang diduduki sekarang
kerana pangsapuri impiannya itu belum dapat diduduki.
Jesteru, dia berharap dapat berpindah segera ke unit pangsapuri mampu milik
tersebut bagi mengurangkan kos perbelanjaan bulanan.
"Jadi, kami amat berharap agar CF dapat diberikan dengan segera agar kami
terlepas daripada tanggungan membayar dua rumah sekali gus," katanya.
Menurut Idris, dia terpaksa membayar serentak wang ansuran pembelian unit
tersebut sebanyak RM415 sebuah, manakala sewa rumahnya mencecah RM400
sebulan.
Menurutnya, berdasarkan surat perjanjian, CF akan diberikan sebelum
September 2006.
Idris berkata, dia membeli unit pangsapuri tersebut pada 2003 dan diberitahu
ia boleh diduduki mulai pertengahan tahun 2005.
"Kami tidak menyalahkan pihak pemaju, cuma kami ingin mendapatkan CF lebih
awal memudahkan kami berpindah ke sini.
"Kalau boleh kami berharap agar CF boleh diberikan selewat-lewatnya sebelum
bulan Mac atau April 2006," katanya.
Idris memberitahu, dia pernah menghubungi pihak pemaju berhubung pemberian
CF itu, namun jawapan yang diberikan mengecewakan.
"Saya diberitahu bahawa CF belum dimohon dan akan mengambil masa untuk
disiapkan serta diminta menunggu kerja-kerja pembinaan jalan di depan
pangsapuri tersebut siap sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, pengawal keselamatan bertugas di situ yang enggan dikenali
turut mengakui ramai pembeli yang kerap datang ke situ untuk bertanyakan
tentang CF dan keadaan unit rumah masing-masing. |