Mendapan hantui Bukit Sentosa
Berita Harian 22/12/2005
BUKIT BERUNTUNG: Kejadian rumah retak yang dialami kira-kira 500 penduduk Bukit Sentosa sejak lima tahun lalu belum ditangani dan terus menghantui
serta menjejaskan kehidupan seharian mereka.
Aduan demi aduan dikemukakan kepada pemaju, namun tiada tindakan diambil
untuk memperbaiki retak dan rekahan di sebahagian besar kediaman yang kini
semakin serius serta membimbangkan penghuni.
Pada 9 September lalu, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor Wilayah
Persekutuan melakukan lawatan dan pemeriksaan di kawasan itu.
Hasilnya mendapati sebahagian rumah dibina atas tanah timbus. Struktur tapak
seperti itu boleh menyebabkan penurunan tanah dan aliran air bawah tanah
menyumbang kepada hakisan.
Bagaimanapun, tiada jawapan tepat bagi retakan itu dan jabatan berkenaan
berpendapat Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) perlu mengenal pasti punca
mendapan yang sangat membimbangkan.
Tinjauan Sentral mendapati, struktur rumah teres retak teruk terutama pada
dinding dan siling dengan rekahan sehingga dua senti meter. Paksi pintu
bilik tidak lagi mengikut spesifikasi, selain mendapan dan lantai simen
tidak rata di luar rumah.
Penduduk mendakwa ada aliran air bawah tanah di kawasan perumahan itu
menyebabkan tanah cepat mendap dan rumah retak. Mendapan menyebabkan dinding,
lantai dan rumah retak sekali gus sehingga mengancam nyawa penghuni.
Wakil penduduk, Mejar Aziz Mahmud, berkata ramai penduduk kecewa selepas
mendapati rumah yang dibeli pada harga RM80,000 hingga RM140,000 itu ,
mengalami keretakan serius.
Lebih membimbangkan penghuni ia boleh menyebabkan runtuhan pada bila-bila
masa.
“Saya berpindah ke sini pada tahun 2000 dan 18 bulan selepas itu retakan
demi retakan berlaku yang kami sendiri tidak tahu puncanya," katanya.
Kelmarin, beberapa wakil lkram dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)
melakukan lawatan bagi menyiasat punca keretakan. Difahamkan, pemaju pernah
melakukan kerja pembaikan
bagi memperkukuhkan tanah membabitkan hanya 14 rumah pada 2001.
Malah, pemaju menjelaskan rumah dibina berdasarkan pelan yang diluluskan dan
mematuhi piawaian kejuruteraan.
Penduduk, Mah Hoh Soon, melahirkan kebimbangan kerana rumahnya tidak selamat,
manakala perasaannya tidak tenteram sejak empat tahun lalu.
"Apa pun, perkara ini tidak boleh dilengahkan kerana setiap hari penduduk
dihantui kebimbangan apabila berada di rumah terutama ketika hujan. "Kami
juga bercadang berpindah sementara bagi membolehkan pemaju menjalankan kerja
pembaikan membabitkan keseluruhan bangunan rumah,”katanya.
Sementara itu, Jurutera Kanan Geoteknikallkram, Fazlee Daud, berkata
pihaknya akan menjalankan ujian tanah bagi menentukan kekuatan dan keadaan
lapisan bawah tanah bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Kami akan mengemukakan laporan kepada MDHS selepas pemeriksaan dan siasatan
sepenuhnya dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi," katanya. |