Kecewa pembinaan kediaman
Bukit Impian tidak bermula
Utusan Malaysia 27/12/2006
Saudara Pengarang,
SAYA telah membeli satu unit banglo setingkat di projek perumahan Bukit
Impian, di U10 Shah Alam, bersebelahan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM)
di Puncak Perdana pada bulan Oktober 2001.
Pinjaman perumahan saya telah diluluskan oleh sebuah bank pada tahun 2002
dan setiap bulan saya telah membayar ansuran bulanan pinjaman tersebut tanpa
gagal.
Bagaimanapun sehingga kini rumah impian saya masih belum dibina di atas
tanah tersebut.
Apa yang mengejutkan saya kontraktor bagi projek perumahan ini bertukar
setiap enam bulan sekali dan saya tidak tahu kenapa projek tersebut tidak
dimulakan lagi.
Setiap kali saya menghubungi pihak pemaju, mereka memberitahu saya bahawa
projek akan dimulakan dalam beberapa bulan lagi.
Sejak tahun 2002, saya terpaksa mendengar alasan yang sama dan sehingga
tahun akan datang. Saya inginkan kepastian sama ada projek ini akan menjadi
realiti atau dianggap sebagai projek terbengkalai.
Sekiranya ia merupakan projek terbengkalai, saya akan menjual tanah saya
kepada pemaju dan mereka mesti membelinya mengikut harga pasaran semasa. -
SAKIT HATI, Kelana Jaya, Selangor
|