CF hanya diberi ikut
perjanjian
Kosmo 31/12/2005
KUALA LUMPUR - Pembinaan Pangsapuri Putra Damai yang telah siap beberapa
bulan lalu bukan penentu Sijil Layak Menduduki (CF) bagi projek itu dapat
dikeluarkan segera.
Jurucakap Putrajaya Holdings yang memantau projek perumahan itu menjelaskan,
pemberian CF hanya akan dilaksanakan seperti yang tertulis dalam perjanjian
sewa beli.
Beliau memberitahu, walaupun rumah sudah siap, masih ada projek yang dalam
pembinaan seperti pemasangan lampu jalan dan pendawaian elektrik.
Berikutan itu, rayuan pembeli pangsapuri Putra Damai di Presint 11 Putrajaya
agar pemberian CF disegerakan mungkin tidak dapat dipenuhi dalam masa
terdekat.
"Faktor kesempurnaan projek penting sebelum CF diberikan kepada para pembeli
supaya tiada masalah berbangkit, harap mereka bersabar," jelasnya ketika
dihubungi semalam.
Beliau mengulas laporan KOSMO! kelmarin mengenai pembeli pangsapuri Putra
Damai yang merayu agar pemberian CF disegerakan untuk menduduki rumah.
Dalam pada itu, jurucakap Putrajaya Homes Sdn. Bhd. yang merupakan salah
satu pemaju projek berkata, pihaknya telah menyiapkan projek perumahan itu
sejak beberapa bulan yang lalu.
"Kami hanya bertanggungjawab menyiapkan rasa perumahan termasuk kemudahan
asas seperti padang permainan serta lot parkir," jelasnya.
Dalam perkembangan yang sama, jurucakap Bahagian Perlesenan dan Khidmat
Nasihat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu, pihaknya
hanya akan mengambil tindakan sekiranya pemberian CF lewat dari tarikh surat
perjanjian. |