This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

CF sementara tamat tempoh
Berita Harian 28/12/2005

SERI KEMBANGAN: Penduduk Taman Lestari Perdana di sini, bukan saja tertekan dan kecewa kerana tidak memperoleh sijil layak menduduki (CF) tetapi juga terpaksa menikmati kemudahan infrastruktur yang tidak sempurna sejak bertahun-tahun.

Kira-kira 50 penduduk rumah teres dua tingkat di situ mendakwa hanya menerima CF sementara yang tamat tempoh sejak enam bulan lalu dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

CF sementara itu dikeluarkan mengikut Seksyen 26, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Sudahlah begitu, mereka mendakwa permohonan untuk melanjutkan CF sementara juga tidak dilayan MPSJ dengan memberikan alasan sijil sedia ada masih boleh digunakan. Wakil penduduk, Azhar Omar, 32, berkata masalah CF adalah perkara yang paling merunsingkan walaupun kebanyakan penduduk sudah menetap di taman perumahan itu sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, CF sementara hanya sah bagi tempoh enam bulan dan sijil pertama yang mereka terima sejak menduduki Taman Lestari Perdana adalah pada Oktober 2002.

“CF sementara yang terakhir diterima sudah tamat tempoh pada Jun lalu.


Ini menyebabkan kami bimbang akan dipersalahkan kerana tinggal dalam rumah yang tidak mempunyai CF jika sesuatu yang buruk berlaku seperti kebakaran,” katanya ketika ditemui Sentral di sini, semalam.

Azhar berkata, penduduk kesal kerana masalah seperti itu boleh berlarutan begitu lama seolah-olah pihak berkaitan lepas tangan sedangkan perkara itu menjadi hak kepada setiap pembeli rumah.

Katanya, difahamkan juga pemaju Taman Lestari Perdana sehingga kini belum mengemukakan permohonan kepada MPSJ untuk mendapat sijil berkenaan.

“Sebenarnya penduduk di kawasan ini ramai, tetapi memandangkan masalah mendapat CF ini belum selesai mereka enggan berpindah ke kediaman masing-masing,” katanya.

Tinjauan Sentral mendapati taman perumahan yang terletak berhampiran Taman Puncak Jalil dan Taman Equine itu agak terpencil berikutan tidak mempunyai sebarang papan tanda arah menunjukkan kedudukannya.

Lebih malang, jalan utama yang digunakan bagi ketiga-tiga kawasan perumahan itu juga tidak sempurna dan penduduk terpaksa menanggung risiko ditimpa kemalangan.

Tinjauan Sentral juga mendapati keadaan longkang teruk dan berbau busuk kerana tidak diselenggara bagi tempoh yang agak lama.

Penduduk, Fadzulan Eusoff, 35, berkata jalan di kawasan itu mengalami kerosakan teruk dan banyak lopak di sepanjang jalan yang menjadi laluan utama penduduk untuk ke kawasan perumahan berhampiran selain ke Puchong, Kajang serta Putrajaya.

“Malah, keadaan akan menjadi lebih buruk selepas hujan kerana jalan berkenaan akan menjadi lebih becak selain struktur lapisannya yang semakin terhakis,” katanya.

Penduduk, Jamiah Shukri, 36, berkata penduduk juga berdepan dengan masalah busuk yang datang dari tapak pelupusan sisa pepejal Air Hitam yang beroperasi hanya beberapa meter daripada kawasan kediamannya.

Katanya, bau busuk dari tapak pelupusan sampah sudah berlarutan sejak menghuni kawasan berkenaan dua tahun lalu.

“Selain masalah CF dan kemudahan infrastruktur, masalah bau busuk ini juga mengganggu ketenteraman kami sekeluarga,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.