47 pembeli rumah tergendala
hilang sabar
Berita Harian 21/12/2005
AMPANG: Seramai 47 pembeli rumah di Taman Kencana Fasa 3, di sini terus
menaruh harapan untuk menduduki rumah mereka yang terbengkalai walaupun
dibeli lebih 10 tahun lalu.
Walaupun sudah ada syarikat pemaju lain bersetuju mengambil alih projek
membina rumah teres dua tingkat itu selepas Syarikat Jaya Kencana Sdn Bhd
muflis, ia masih berdepan masalah untuk dilaksanakan.
Projek perumahan yang dimulakan pada 1993 itu sepatutnya siap dalam tempoh
dua tahun. Bagaimanapun, selepas pemaju muflis projek itu
dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Pemegang Harta pada 2000.
Pembeli mendakwa jabatan berkenaan masih berdiam diri dan tiada sebarang
maklum balas diberikan walaupun beberapa perjumpaan diadakan.
Husin Abdul Ghani yang mewakili pembeli berkata, mereka bersetuju membayar
RM55,000 lagi kepada pemaju baru bagi membolehkan projek dilaksanakan dalam
tempoh terdekat.
Katanya, pembeli tidak mahu menanggung kerugian lebih lama kerana terpaksa
membayar pinjaman bank dan sewa rumah disebabkan kegagalan projek itu
disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Sejak projek diambil alih Jabatan Pemegang Harta, belum sekali pun mereka
memberi maklum balas berhubung masalah ini. Mereka memberi alasan Pegawai
Penerima sering bertukar.
“Kami sedih dengan keadaan ini. Bukan itu saja, kami sanggup mengeluar wang
bagi membolehkan projek yang hanya siap kira-kira 30 peratus disiapkan
sepenuhnya,” katanya pada sidang media.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Pandan,
Datuk Ong Tee Keat.
Projek rumah teres dua tingkat itu dijual pada harga RM99,000 seunit untuk
Bumiputera dan RM103,000 bukan Bumiputera. Kebanyakan pembeli menjelaskan
antara 10 hingga 20 peratus wang pendahuluan kepada pemaju.
Setakat ini, bank berdepan dengan pinjaman tertunggak mencecah sehingga
RM2.44 juta.
Berikutan itu, Ong berkata meminta Jabatan Pemegang Harta menyelesaikan
masalah itu segera bagi membolehkan pemaju lain mengambil alih projek.
“Untuk menyiapkan projek ini perlu mendapat kelulusan Jabatan Pemegang Harta
tetapi jika mereka berdiam diri susah untuk melaksanakannya,” katanya.
Tinjauan ke tapak projek berkenaan mendapati sebahagian kawasan hanya
bermula setakat menanam cerucuk, manakala sebahagian lagi separuh siap.
Sebelum ini, dilaporkan Kerajaan Selangor mengenal pasti Taman Kencana Fasa
3 adalah antara 32 projek perumahan bernilai hampir RM2 bilion terbengkalai
bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
|