Penduduk gadai nyawa baiki lif
Kosmo 10/11/2005
KUALA LUMPUR - Jangan terkejut jika ada penghuni Pangsapuri Seri Nilam yang
mengalami kejutan elektrik apabila mereka melakukan sambungan haram untuk
menggunakan lif di pangsapuri itu.
Mereka berbuat demikian bukan untuk menempah maut, tetapi 'terpaksa' kerana
lif di pangsapuri itu sering rosak dan lambat diperbaiki oleh pihak
berkaitan walaupun berulang kali dilaporkan.
Tinjauan KOSMO! mendapati penghuni yang menjadi 'juruteknik tidak bertauliah'
terpaksa melakukan sambungan wayar apabila butang lif itu rosak dan tercabut.
Jika tersilap sambungan, padah pasti menanti terutama remaja dan kanak-kanak.
Menurut seorang penghuni di Blok C, Ismalludin Ismail, penghuni di situ
terpaksa melakukan sambungan wayar sendiri untuk menggunakan lif naik dan
turun di pangsapuri berkenaan.
Sambungan yang tidak betul turut mengundang kejadian litar pintas.
"Malah, lif berkenaan hanya berhenti di tingkat tertentu saja. Penghuni
terpaksa naik dan turun tangga untuk ke kediaman masing-masing yang
membebankan penghuni terutama warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak,"
katanya.
Ketua Blok A, Kamarudin Taib pula berkata, kebanyakan lif di enam blok
pangsapuri itu sering mengalami masalah yang sama berikutan perbuatan mereka
yang tidak bertanggungjawab merosakkannya.
"Jika lif rosak, kami akan menghubungi pihak pengurusan pangsapuri, tetapi
sering kali mereka datang lewat untuk membaikinya dan ini menyebabkan ramai
yang mengeluh.
"Kadangkala persatuan penduduk yang terpaksa mengambil tindakan dengan
menghubungi syarikat lain untuk membaiki kerosakan itu," ujarnya. Selain
masalah lif, penghuni di pangsapuri itu juga sering menghadapi masalah
bekalan air dan elektrik.
Ketiadaan elektrik di kawasan tempat letak kereta di tingkat bawah
pangsapuri itu turut menyebabkan penghuni sering ketakutan pada waktu malam.
Kamarudin berkata, tempat letak kereta yang bergelap itu juga menjadi sarang
maksiat oleh golongan remaja.
"Ketiadaan pengawal keselamatan di kawasan ini juga menyebabkan masalah
kecurian dan maksiat berlaku dengan berleluasa.
"Kami telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Agama Islam Selangor,
namun tiada tindakan susulan yang diambil," tambahnya yang telah mendiami
pangsapuri itu sejak awal 2003.
KOSMO! cuba menghubungi pihak pengurusan pangsapuri berkenaan,LT Sdn. Bhd.,
bagaimanapun usaha itu gagal kerana dimaklumkan tiada pegawai bertugas yang
boleh memberi penjelasan.
|