Lif rosak, sampah 'terbang' di
Flat Sri Kota
Kosmo 9/11/2005
BERBAHAYA. Sikap lambat bertindak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam
mengatasi kerosakan lif di Blok 98, Flat Sri Kota, Cheras mengundang
pelbagai masalah lain.
Selain derita menaiki atau menuruni tangga, penduduk flat 17 tingkat itu
juga sukar untuk mengangkut barangan atau sampah.
Kesusahan itu turut dirasai oleh pekerja syarikat pembersihan yang akhirnya
mengambil jalan mudah membuang sampah dari tingkat enam tanpa mengambil kira
keselamatan orang ramai.
Gambar di atas yang dirakamkan oleh jurugambar, NOORADZRENE MOHD. NOOR,
pukul 11.30 pagi semalam menjelaskan tentang bahaya dan juga kesan kerosakan
lif tersebut.
Selepas mencampakkan sampah seperti tikar getah, kerusi buruk dan bangku
dari tingkat enam, pekerja wanita itu kemudian turun untuk mengumpulkannya
semula sebelum dibuang ke tong yang disediakan.
Tindakan itu memang memudahkan tetapi risikonya membahayakan keselamatan
penduduk yang lalu lalang di bawah bangunan flat itu.
|