This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Lebih banyak rumah terbengkalai dipulih

18/11/2005 Berita Harian

SEREMBAN: Lebih banyak projek perumahan terbengkalai di negeri ini akan dipulihkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membolehkan kediaman diserahkan kepada pembeli secepat mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Woo Ah Lek, berkata Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan (UPKT) negeri sudah mengenal pasti projek yang memerlukan pemulihan oleh syarikat berkenaan.

Setakat ini ada 45 projek terbengkalai di seluruh negeri, kebanyakannya sekitar daerah ini, termasuk yang terbiar sejak lebih 20 tahun.

"UPKT sudah menyenaraikan projek terbengkalai dan memerlukan pemulihan kerana ada yang terbengkalai sejak sekian lama hingga menimbulkan rasa tidak puas hati pembeli.

"SPNB sudah bersetuju memulihkan projek berkenaan dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan, terutama projek yang sudah terlalu lama terbengkalai," katanya.

Woo berkata kelewatan memulihkan beberapa projek perumahan disebabkan UPKT tidak mendapat kerjasama pemaju asal.

Masalah itu menyebabkan UPKT sukar mengumpul maklumat projek kerana ada pemaju menghilangkan diri selepas syarikat berdepan masalah kewangan.

"UPKT juga berdepan masalah mendapatkan maklumat pembeli kerana tidak semua pembeli berasa dari daerah dan negeri ini," katanya.

Beliau berkata, projek perumahan Taman Pelangi Sikamat dan Taman Senawang Jaya Fasa 1 C yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu akan dipulihkan selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Selepas dua projek berkenaan, beberapa projek lain dipulihkan. Kerajaan berharap bersabar sehingga rumah dapat diduduki," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.