Jangan salahkan pemaju sahaja
Kosmo 21/11/2005
DAMANSARA - "Pembeli yang menghadapi masalah projek perumahan terbengkalai
tidak boleh terus menyalahkan pihak pemaju semata-mata," tegas Pengerusi
Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar (gambar).
Mustapha berkata, untuk melakukan sesuatu projek perumahan melibatkan banyak
pihak.
"Rata-rata masalah besar yang menyebabkan projek terbengkalai bukan
disebabkan oleh pihak pemaju sahaja sebaliknya, kegagalan kontraktor,
jurutera dan arkitek yang dipertanggungjawab untuk membina rumah," katanya
kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu rumah terbengkalai.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Penyerahan Gerakan Hak Milik Rumah
kepada 147 keluarga Orang Asli Bukit lanjan, di Damansara Perdana semalam.
Namun, Mustapha tidak pula menolak kemungkinan masalah pojek perumahan gagal
disiapkan disebabkan pihak pemaku .
Saya tak kata pemaju tak melakukan kesilapan, ada pemaju yang mengalami
masalah kewangan dan kemudian gagal menyiapkan sesuatu projek kerana
menggunakan duit yang diperuntukkan ke tempat lain," katanya.
Tambahnya, semakin ramai orang menceburi bidang hartanah tanpa kelayakan
yang cukup, turut mendorong masalah rumah terbengkalai dan juga perumahan
tidak berjaya dijual.
"Semua orang mahu buat projek (perumahan), semua orang nak untung, tapi
mereka tidak tahu bidang ini bukan sebarangan orang boleh masuk.
"Pemaju perlu cekap untuk menetapkan kos perbelanjaan, harga rumah serta
pengurusan dari segi masa," ujar Mustapha.
Justeru, beliau berharap agar pihak kerajaan memperketatkan dan memastikan
setiap individu yang ingin menjadi pemaju hartanah mematuhi syarat-syarat
yang ditetapkan. |