Dergahayu tegur sikap penduduk
Kosmo 12/11/2005
SUBANG JAYA - Prasarana kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga, itulah
rumusan pemaju, Dergahayu Sdn. Bhd. mengenai masalah yang dibangkitkan
penduduk Pangsapuri Subang Mewah terutama di blok Angsana.
Pengurus Pengurusan Perbadanan Dergahayu, Catherine Liew berkata, pihaknya
telah berbelanja besar menyelenggara dan memperbaiki segala kerosakan serta
menyediakan kemudahan awam di situ tetapi ia tidak bertahan lama.
"Pada tahun 2003 sahaja kami telah mengeluarkan sebanyak RM37,420 bagi
membaiki lif tapi rosak balik tidak sampai seminggu," katanya ketika ditemui
KOSMO! baru-baru ini.
Dergahayu juga menampal notis di setiap aras blok,berkenaan mengatakan
pihaknya tidak bertanggungjawab menanggung kos kerosakan besar lif kecuali
yang melibatkan penyelengaraan berkala dan kerosakan kecil.
"Kalau kerosakan kecil tidak mengapa, tetapi litar dan cip komputer dalam
lif berkenaan pun turut dicuri, ini sudah tentu ia memerlukan kos tinggi,"
kata Liew.
Tambahnya, dakwaan penduduk blok Angsana membayar, RM32 sebulan untuk
penyelengaraan tidak tepat kerana tidak semua yang berbuat demikian.
"Melalui kutipan setakat ini, hendak membaiki kerosakan kecil pun belum
cukup," katanya
Mengenai sampah, Catherine memberitahu, mereka mempunyai pekerja khusus
untuk membersihkan kawasan koridor dan sekitar bangunan tetapi bukan
mengangkut sampah penduduk yang dilonggokkan di tangga-tangga dan kawasan
koridor.
Mereka mengharapkan pemaju menyelesaikan segalanya daripada soal kebersihan,
soal vandalisme tanpa mahu bekerjasama mengurangkan gejala ini.
"Tong sampah besar ada di setiap blok tetapi ada yang masih membuang sampah
merata-rata,” katanya.
|