'Bina dan jual' tak perlu jadi
peraturan
Berita Harian 12/11/2005
KONSEP ‘bina dan jual’ tidak perlu dijadikan satu undang-undang kerana
kebanyakan pembeli kini semakin bijak dan hanya membeli apabila hartanah
pilihan sudah mula dibangunkan.
Pengerusi Johor Land Bhd, Mohd Talhar Abdul Rahman, berkata berdasarkan
pengalaman Johor Land sendiri, biasanya jualan akan meningkat dengan ketara
apabila pembinaan hartanah yang ditawarkan siap 30 hingga 40 peratus.
“Kebanyakan pembeli biasanya hanya membuat keputusan untuk membeli apabila
mereka melihat rumah sedang dibina kerana berasa lebih yakin apabila bentuk
rumah sudah mula kelihatan.
“Justeru, konsep ‘bina dan jual’ itu tidak perlu menjadi satu undang-undang
kerana pembeli dan pasaran mempunyai kuasa untuk menentukannya,” katanya
pada dialog mengenai industri hartanah tempatan, di Kuala Lumpur, semalam.
Selain sebagai pengerusi Johor Land, Mohd Talhar ialah pengasas firma
hartanah, C H Williams Talhar & Wong.
Mohd Talhar berkata, terlalu banyak peraturan dan undang-undang akan
merosakkan industri hartanah itu sendiri kerana ia membebankan pemaju ‘baik’
yang selama ini menjalankan tanggungjawab berdasarkan kesedaran sendiri.
“Peraturan diperkenalkan untuk memastikan pemaju tidak bertanggungjawab
menerima tindakan sewajarnya, tetapi pada masa sama ia akan membebankan
pemaju bertanggungjawab jika peraturan yang diperkenalkan itu sebenarnya
tidak perlu,” katanya.
Beliau berkata, sememangnya menyedihkan kerana wujud pemaju tidak
bertanggungjawab dalam kepesatan pertumbuhan industri hartanah tempatan
ketika ini.
“Bagaimanapun memperkenalkan peraturan saja tidak cukup, pembeli mesti
mengambil langkah bijak mengumpul maklumat, meninjau lokasi, membuat
pertanyaan yang perlu dan melakukan kaji selidik sebelum membuat keputusan
belian seperti yang dilakukan pembeli di pasaran lebih matang,” katanya. |