This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

32 Projek terbengkalai

Berita Harian 28/11/2005 Oleh Zuraidah Mohamed

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengenal pasti sebanyak 56 projek termasuk 32 projek perumahan bernilai kira-kira RM3 bilion terbengkalai bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Projek terbengkalai itu merangkumi 17,672 unit perumahan, 18 projek komersial (1,014 unit), lima projek pembesaran kampung (2,480 unit) dan satu projek industri membabitkan 174 unit.

Majlis Bandaraya Shah Alam mencatatkan projek terbengkalai tertinggi iaitu 10 projek diikuti Majlis Perbandaran Klang (lapan projek), Majlis Perbandaran Subang Jaya (tujuh projek) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya sebanyak enam projek bagi tempoh berkenaan.

Berdasarkan laporan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), projek terbengkalai terbabit gagal dimajukan 49 syarikat di mana 13 daripadanya sedang dan dalam proses gulung tikar.

Anak syarikat kerajaan negeri, Brisdale Holdings Bhd turut gagal menyiapkan pembinaan blok kedai dan pangsapuri di sebahagian Taman Perindustrian Marin Selangor yang dimulakan sejak 1997 kerana menghadapi masalah kewangan. Setakat ini, projek berkenaan hanya siap lima peratus.

Pada masa sama, Brisdale Holdings Bhd turut menarik balik empat cadangan pembangunan yang dikemuka dan diluluskan Majlis Perbandaran Klang di Taman Perindustrian Marin Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahlan, berkata sebahagian daripada pemaju terbabit sudah dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung kegagalan menyiapkan projek yang diberikan.

Katanya, ada beberapa projek perumahan yang sudah lebih 15 tahun terbengkalai dan pemaju juga gagal dikesan.

"Sebanyak 20 syarikat sudah dipanggil untuk berbincang dan mencari jalan menyelesaikan masalah yang dihadapi pemaju serta pembeli. Ini bagi membolehkan syarikat pemaju terbabit menyiapkan projek ini dengan segera.

"Perbincangan ini dijalankan bersama LPHS, Pejabat Tanah, pihak berkuasa tempatan dan jika ada unsur penyelewengan kita juga akan panggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis," katanya ketika ditemui Sentral di pejabatnya, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, jika syarikat berkenaan didapati tidak berupaya meneruskan projek berkenaan kerajaan negeri akan mencadangkan supaya ia diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sebanyak enam projek terbengkalai membabitkan 3,973 unit kediaman dan komersial di Bandar Pinggiran Subang, Taman Desaria Petaling, Taman Kantan Permai, Lembah Beringin, Taman Lingkaran Nur Fasa 1 dan 2 akan dipulihkan oleh SPNB.

Beliau berkata, kebanyakan projek terbengkalai disebabkan masalah dalaman yang dihadapi pemaju selain masalah kewangan dan teknikal, syarikat pemaju serta perunding yang dilantik tiada berpengalaman.

Katanya, kerajaan negeri menerusi LPHS sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan syarikat pemaju terbabit meneruskan projek terbengkalai mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya menyelidik latar belakang syarikat pemaju terlebih dulu sebelum membeli rumah atau lot kedai bagi mengelakkan mereka berdepan pelbagai masalah," katanya.

Antara kawasan projek terbengkalai ialah Taman Alam Indah, Taman Bunga Negara, Taman Subang Permai, Bandar Pinggiran Subang, West Port Pulau Indah, Bandar Sri Damansara, Taman Sri Angsana Hilir, Taman Kencana Fasa 3 dan Taman Serdang Perdana.

Kawasan lain yang turut terbabit ialah Gombak Perdana Villa, Kampung Tengah, Prima Selayang, Bandar Puncak Damai Semenyih, Taman Padang Tembak, Taman Nuri, Lembah Beringin dan Taman Kenanga Bandar Baru Salak Tinggi.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.