Syarat miliki rumah mesra rakyat
dilonggar
Berita Harian 31/1/2005
MELAKA: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melonggarkan beberapa
syarat bagi membolehkan golongan miskin memiliki rumah sendiri melalui
Skim Rumah Mesra Rakyat yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor,
berkata antaranya ialah pemohon mempunyai tapak rumah di atas tanah pusaka
dikongsi adik beradik lain, kini boleh memohon melalui skim itu.
Katanya, pemohon mestilah membuat perjanjian dengan adik
beradiknya hak milik tapak rumah itu agar tidak ada masalah berbangkit.
"Melalui skim ini, setiap permohonan di atas tanah
pusaka yang dikongsi dengan adik beradik lain perlu mendapat persetujuan
semua pihak berhubung hak milik tapak rumah itu.
"Pindaan syarat yang ketat sebelum ini telah mendapat
kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Dengan ini, kita berharap lebih
ramai yang memohonnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
menyampaikan ceramah pada Kursus Kepimpinan Penyelaras Umno Dewan Undangan
Negeri (DUN) Bukit Baru, di Water City Resort, di sini semalam.
Skim itu yang dilancarkan oleh kerajaan pada 2002
bertujuan membolehkan golongan miskin terutama nelayan, petani, peladang,
ibu tunggal dan orang miskin yang tiada rumah atau memiliki rumah usang
tetapi mempunyai tanah, boleh memiliki rumah sendiri.
Di bawah skim itu, SPNB akan membina rumah banglo kos
rendah mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air di atas tanah
pemohon.
Satu pertiga daripada kos pembinaan dibiayai melalui
dana khas kerajaan Persekutuan manakala bakinya merupakan pembiayaan
tanpa faedah berlandaskan konsep Al-Qardh dengan jangka masa pembayaran
balik selama 22 tahun.
Bagaimanapun, sambutan rakyat terhadap skim itu kurang
menggalakkan berbanding sasaran SPNB untuk membina 5,000 unit rumah
setahun.
"Setakat ini hanya 600 unit rumah siap dibina," katanya
sambil memberitahu bahawa permohonan boleh dibuat melalui wakil rakyat
kawasan masing-masing. |