Rumah impian
retak
Berita Harian 22/1/05 Oleh KC Chong
KUALA LUMPUR: Memiliki kediaman sendiri memang impian setiap orang
terutama bagi mereka yang menetap di ibu kota.
Bagaimanapun, keadaan membimbangkan penduduk apabila mendapati rumah
impian mereka retak selepas beberapa tahun mendiaminya. Tanah mendap juga
membuatkan penduduk gelisah kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini.
Itulah situasi yang terpaksa dihadapi kira-kira 500 penduduk di Taman Seri
Timah sejak Ogos 2003.
Tinjauan Sentral bulan lalu mendapati struktur 150 unit rumah daripada 440
unit rumah di taman perumahan itu retak bagaikan menanti belah. Keretakan
begitu ketara pada dinding dan siling.
Penduduk risau dan bimbang jika tiada sebarang pemulihan atau tindakan
dilakukan keadaan menjadi semakin teruk dan tidak mustahil berlaku
runtuhan.
Penduduk di taman itu mendakwa keretakan berpunca daripada kerja mengorek
tanah untuk projek pembinaan banglo mewah di tanah bersebelahan taman
perumahan itu.
Penduduk juga mendakwa kerja berkenaan menyebabkan tanah bekas lombong
besi itu cepat mendap.
Isu itu pernah disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan pada 2003, tetapi
keadaan rumah teres di taman perumahan itu semakin terjejas.
Taman Seri Timah berasal daripada lombong besi pada sekitar 80-an dan
dimajukan sebagai projek perumahan untuk bekas pekerja lombong oleh
kerajaan Selangor pada 1983.
Bekas pelombong, Teh Kin Hai, 72, berkata tindakan pemaju banglo yang
mengorek tanah di sebelah Taman Seri Timah mengakibatkan hakisan tanah
yang membimbangkan penduduk terutama penghuni di Jalan Seri Timah 1 kerana
kawasan hakisan tanah hanya terletak kira-kira satu meter dari dapur rumah.
“Kami bimbang keselamatan kerana takut rumah akan runtuh pada bila-bila
masa saja tanpa diketahui. Jika pemaju terbabit masih meneruskan kerja
mereka, tentu akan berlaku hakisan tanah yang teruk pada masa depan.
“Kawasan ini adalah bekas lombong besi, tanahnya bercampur dengan pasir
dan batu dan tidak sekukuh seperti tanah biasa,” katanya, baru-baru ini.
Penduduk Lim Hock Keng, 64, berkata penduduk mula berasa mendapan tanah
tiga tahun lalu.
Beliau berkata, penduduk tidak membantah pembinaan banglo itu, tetapi
harus mengikut kriteria yang ditetapkan supaya tidak mengancam keselamatan
taman perumahan berdekatan.
“Berdasarkan pengalaman saya sepanjang 30 tahun bekerja sebagai pelombong
besi, penghadang hakisan yang dibina mesti enam meter dari rumah terdekat.
“Jika penghadang hakisan dibina kurang daripada enam meter, penghadang itu
tidak mampu mengelakkan hakisan tanah,” katanya.
Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, berkata mengikut laporan
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Selangor dan Wilayah Persekutuan)
pada 24 Mei 2003, keretakan dipercayai disebabkan pemendapan tanah hasil
kerja pengorekan tanah daripada projek banglo itu.
Katanya, dia sudah menghantar laporan mengenai kejadian itu kepada Majlis
Perbandaran Kajang (MPKj), malangnya tiada tindak balas. |
|
|