Projek terbengkalai tempat biak aedes
18/01/2005
Berita Harian
GOMBAK: Tapak pembinaan dan projek terbengkalai di daerah Gombak dikenal
pasti antara tempat pembiakan utama nyamuk aedes sekali gus menjadi punca
kes denggi berleluasa di daerah itu.
Ahli Parlimen Gombak, Datuk Rahman Ismail, berkata lebih 70 peratus
daripada pembiakan nyamuk aedes adalah tapak pembinaan dan projek yang
terbengkalai.
"Gombak adalah antara daerah yang mencatat kes denggi tertinggi di
Selangor. Kami mendapati ia berpunca dari tapak pembinaan, kawasan
perumahan yang baru naik dan projek terbengkalai.
"Jika tempat itu tidak dipantau sudah tentu akan menjadi sumber pembiakan
nyamuk bahaya itu. Itu sebab kami mengadakan sesi dialog dan kempen
bertujuan mendedahkan pengetahuan kepada masyarakat dan mendapat kerjasama
mereka untuk sama-sama membanteras masalah ini.
"Di samping itu saya juga ingin menyeru pihak berkuasa tempatan mengambil
tindakan mengenakan kompaun terhadap pemaju yang bertanggungjawab ke atas
projek terbengkalai mereka.
"PBT tidak harus leka dalam soal ini kerana ia membabitkan keselamatan
penduduk sekitar kawasan projek terbengkalai itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen
Perangi Denggi di Pusat Perkhidmatan dan Kecemerlangannya di Taman
Melawati di sini semalam.
Berdasarkan statistik Jabatan kesihatan Selangor, sebanyak 1,818 kes deman
denggi dilaporkan di Gombak pada tahun lalu, tetapi hanya 680 kes disahkan
dan satu kematian dilaporkan.
Sementara itu, sebanyak 67 kes kematian deman denggi dicatatkan di seluruh
negara pada tahun lalu.